SUKAN ASIA 2018
Sepak takraw: Tarik diri langkah terakhir
Penarikan diri daripada bertanding dalam Sukan Asia Indonesia 2018 seharusnya menjadi langkah terakhir buat skuad sepak takraw ketika Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sudah memanjangkan rayuan untuk Malaysia beraksi dalam acara regu kepada Majlis Olimpik Asia (OCA).
Perkembangan itu disahkan Setiausaha Agung MOM, Datuk Mohd Nazifuddin Najib, yang tetap berasakan ada peluang untuk Malaysia beraksi dalam acara regu.
Kesilapan dalam proses pendaftran sama ada daripada pihak MOM atau Jawatankuasa Penganjur Sukan Asia Indonesia (INASGOC) menyaksikan Malaysia dijadual beraksi dalam saingan regu berpasukan dan acara yang tidak berada dalam perancangan, iaitu berpasangan berpasukan
Perbincangan dengan Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) menerusi presidennya, Datuk Abdul Halim Kader, juga sedang giat dijalankan.
Pada masa sama, beliau menegaskan panel timbangtara yang menjadi kelaziman dalam saingan sukan temasya menjadi harapan terbaik mereka untuk menyelesaikan masalah itu.
"Kami telah menghantar surat kepada OCA dan menerima maklum balas bahawa mereka tidak akan melakukan undian semula. Kami juga merayu untuk beralih daripada acara double kepada regu dan kami masih lagi menunggu," kata Nazifuddin.
"Buat masa ini, penarikan diri bukan pilihan dan kami masih lagi positif terhadap isu ini," jelasnya.