Skip to main content

Sepak Takraw

Sepak takraw: PSM sedia bergabung dengan MASTAF tapi bersyarat

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

psm_1.jpg
Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Sumali Reduan, sekali lagi menegaskan bahawa persatuan itu bersedia untuk bekerjasama dengan Persekutuan Sepak Takraw Malaysia (MASTAF) bagi menyelesaikan kemelut yang melanda sukan sepak takraw negara.

PSM juga terbuka untuk bergabung dengan MASTAF seandainya ia jalan terbaik demi kemajuan dan pembangunan sukan berkenaan.

Bagaimanapun, PSM akan meletakkan beberapa terma dan syarat yang perlu dipersetujui sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.

Bagi Sumali, semua pihak yang terlibat perlu berusaha mencari titik persamaan demi memastikan kerjasama yang bakaL dimeterai bertahan untuk jangka panjang.

"Apapun yang PSM buat, sudah tentunya akan memikirkan mengenai sepak takraw itu sendiri, bukan untuk PSM mahupun MASTAF," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Fadhirul Shuhaimi.

"Kalau jalan akhirnya adalah bergabung -- seperti yang pernah saya cadangkan sebelum ini -- tetapi ia memerlukan titik persamaan untuk penggabungan itu.

"Untuk bergabung boleh, PSM ada 16 ahli gabungan dan MASTAF ada lima, jadi ia perlu kena dengan cara dan kesesuaiannya agar dapat memuaskan hati semua pihak.

"Ia bersayarat dan ada terma, bukan kerana kami ingin menambah kemelut yang ada tetapi ia memerlukan satu titik persamaan dan alasan yang munasabah agar penggabungan ini menjadi sesuatu yang sangat harmoni," katanya.
 

Advertisement

Must Watch Video