"Kembalikan jurulatih", itu merupakan pentafsiran jelas rata-rata atlet 100m pecut kebangsaan yang merindui sentuhan jurulatih Poad Kassim yang memiliki acuan terbaik dalam melonjakkan prestasi atlet kebangsaan.
Ia bukanlah omong kosong dengan pencapaian Zaidatul Husniah Zulkifli yang meleburkan rekod kebangsaan menerusi Terbuka Perlis Cahya Mata Sarawak.
Lantas, ia merupakan petunjuk jelas merujuk persoalan besar mengapa kontrak Poad tidak disambung.
"Bagi saya sedikit terkesan buat saya dan pasukan walaupun tidak banyak kerana tanpa dia (Poad Kassim) siapalah kami.
"Jadi saya harap dia akan kembali semula," kata pelari pecut negara, Haiqal Hanafi.
"Bukan saya seorang sahaja yang mempamerkan prestasi terbaik. Ramai lagi atlet lain berjaya.
"Jika ditakdirkan dia diberi peluang, saya sangat bersyukur," ujar Zaidatull Husniah.
"Mesti saya mahu dia lagi kerana dengan bantuannya saya mampu memecahkan rekod Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2024.
"Program yang dikendalikan olehnya sangat bagus dan saya tidak pernah bertukar latihan," kata Afrina Batrisyia.
"Sebagai atlet sememangnya mahu dia lagi. Tetapi keputusan terletak atas dirinya sendiri. Saya tetap mengikuti program latihannya," ulas Khairul Hafiz Jantan.
Selepas ketiadaannya, tugasan itu kini dipikul bekas atlit 400m berpagar kebangsaan, Firdaus Mazalan, yang memantau perkembangan tiga atlet di bawahnya.
Dalam masa sama, Hanssen Yap, Azreen Nabila Alias, Haiqal Hanafi dan Jonathan Nyepa berada di bawah jagaan jurulatih, Mohd Nizam Md Yusop.
"Buat masa sekarang, saya hanya membantu bagi pihak Poad Kassim sambil dia sendiri yang akan menganalisa setiap latihan.
"Walaupun dia tiada di sini, jurulatih tetap mengetahui segalanya kerana saya akan menghantar video latihan kepadanya," kata pemangku jurulatih, Firdaus Mazalan.
Shaiful Shamsudin
Thu Oct 31 2024