SUKAN LAIN
SEMASHUR juara Ragbi 7s MCKK 2019
Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor (SEMASHUR) merangkul kejuaraan sulung dalam Kejohanan Ragbi MCKK Premier 7s 2019 di Kuala Kangsar semalam.
Lebih membanggakan, SEMASHUR muncul juara dengan mengalahkan tuan rumah, Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), 24-10 seterusnya menebus kekalahan di tangan lawan sama enam tahun lalu.
Dalam perlawanan akhir itu, Semashur memperoleh empat try yang masing-masing disempurnakan Farhan Haziq Asyraf Johan, Adam Faiq Kamarul Zaman, Hariz Ezzat Hamidon dan Muhammad Najmuddin Nor Hisham selain dua conversion yang disudahkan Hariz Ezzat.
Iklan
Sementara itu, pasukan tuan rumah sekadar memperoleh dua try melalui Ahmad Zaril Hariz Mohd Nazaruddin dan Muhammad Harithshah Kaharudin.
Jurulatih SEMASHUR, Mohd Soleh Abdul Hamid, menyifatkan disiplin tinggi yang dipamerkan anak buahnya sepanjang permainan menjadi kunci utama kemenangan selepas hampir enam bulan mengadakan persiapan rapi.
"Saya juga amat berterima kasih kepada semua pihak yang tidak putus-putus memberi sokongan kepada kami dalam memastikan sasaran muncul juara dalam kejohanan kali ini berjaya dicapai," katanya kepada pemberita.
Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Bandar Penawar, Johor terpaksa berpuas hati di tempat ketiga selepas menewaskan Sekolah Sultan Alam Shah, Putrajaya 21-12.
Sementara itu, dalam perlawanan akhir kategori Plate, Maktab Sultan Abu Bakar (MSAB) Johor menewaskan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Haji Othman Abdullah Wahab (SHOAW) Sarawak 24-15, sekali gus dinobatkan juara.
Bagi kategori Shield, pasukan jemputan, Shizuoka Seiko Academy dari Jepun muncul juara selepas menewaskan Sekolah Menengah King Edward VII Perak 19-14.
Kategori Bowl pula menyaksikan kejuaraan menjadi milik Sekolah Tunku Abdul Rahman, Perak setelah menundukkan Sekolah Menengah Kebangsaan Abi Perlis 25-5.
Kejohanan selama tiga hari itu turut menerima kunjungan Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa, yang turut berkenan menyampaikan hadiah kepada pemenang.
Must-Watch Video