SUKAN ASIA
Selamat tinggal Hangzhou, jumpa lagi di Nagoya!
Sukan Asia Hangzhou 2022 sampai ke kemuncaknya menerusi majlis penutup sekali gus mengucapkan selamat tinggal kepada lebih 12,000 atlet dari 45 negara, malam ini.
Persembahan di Stadium Olimpik Hangzhou memberikan fokus kepada pengorbanan barisan atlet negara masing-masing dalam usaha mengejar impian dan serta memberikan penghargaan kepada sukarelawan yang membantu dalam penganjuran temasya yang bermula sejak 23 September lalu.
Jaguh karate negara, Muhammad Arif Afifudin Ab Malik, yang memenangi pingat emas dalam acara kumite bawah 84kg lelaki mengibar Jalur Gemilang mengetuai 40 atlet karate, kabaddi dan jujitsu serta sekretariat masuk ke stadium.
Iklan
Malaysia yang diwakili 288 atlet dalam 22 daripada 40 sukan yang dipertandingkan, menduduki tempat ke-14 dengan enam emas, lapan perak dan 18 gangsa untuk mengumpul keseluruhan 32 pingat, melepasi sasaran 27 pingat yang ditetapkan.
Selepas ucapan penutup oleh pemangku Presiden Majlis Olimpik Asia (OCA), Raja Randhir Singh, bendera OCA diturunkan dan bendera Sukan Asia dan obor diserahkan kepada wakil Sukan Asia akan datang iaitu Jepun.
Persembahan kebudayaan dari Jepun dan saingan Sukan Asia ke-20 bakal dikenali sebagai Aichi-Nagoya 2026.
Perenang China, Qin Haiyang dan Zhang Yufei yang masing-masing memenangi enam pingat emas, dianugerahkan Pemain Paling Bernilai (MVP) Sukan Asia Hangzhou.
Seperti diramal, China meneruskan penguasaan sebagai juara keseluruhan Sukan Asia sejak 1982, tetapi kali ini dengan penanda aras baharu apabila memenangi 201 emas, atau hampir 42 peratus daripada 482 pingat emas dipertaruhkan, selain 111 pingat perak dan 71 gangsa.
Tuan rumah edisi seterusnya Jepun menduduki tempat kedua dengan 52 emas, 67 perak dan 69 gangsa, diikuti Korea Selatan 42 emas, 59 perak, dan 89 gangsa di tempat ketiga.
Must-Watch Video