SUKAN LAIN
Sejarah jadi pegangan hidup ratu luncur air negara
Meskipun bergelar ratu luncur air negara dan acap kali bertanding di serata dunia, Aaliyah Yoong Hanifah tidak pernah melupakan asal usulnya sebagai anak jati Malaysia.
Bagi anak kelahiran Kuala Lumpur itu, mewakili negara tercinta bagi sukan luncur air menjadi kebanggaan buat dirinya kerana percaya selain pelbagai jenis makanan, sukan turut menyatukan masyarakat di setiap pelosok dunia.
Walaupun sukan yang diceburinya sejak usia lima tahun itu dilihat kurang mendapat perhatian di mata masyarakat Malaysia, dia tetap mengingati setiap detik apabila mewakili negara di pentas antarabangsa.
“Terus melakukan yang terbaik dan mewakili negara Malaysia yang dicintai. Sentiasa berpegang kepada warisan budaya anda dan mengetahui asal usul kita.
“Selain kebanggaan mewakil negara, saya juga boleh memperkenalkan budaya kita kepada peluncur luar negara,” kata anak muda berusia 16 tahun itu yang kini menyandang gelaran peluncur nombor satu Asia bagi acara slalom, tricks, jump dan keseluruhan.
Meminati juadah makanan Malaysia seperti nasi kerabu, cendol dan serawa durian, adik kepada bekas pelumba Formula 1 (F1) negara, Alex Yoong, itu menzahirkan semangat cintakan negara menerusi penghayatan sejarah pembentukan negara.
Katanya, dia sentiasa berasa bangga menjadi anak Malaysia, lebih-lebih lagi ketika menjejakkan kaki di negeri orang untuk menyertai pertandingan dengan terpapar pelekat Jalur Gemilang di dada baju sukan.
Bagaimanapun, gadis berdarah kacukan Melayu dan Cina itu mengakui semangat patriotisme dalam jiwa anak muda kini semakin luntur kerana mereka gagal menghayati erti sebenar kemerdekaan.
"Anak muda seperti saya mesti mendalami sejarah negara untuk mengetahui kebenaran. Perlu diingati apa yang dilalui oleh negara untuk mencapai kemerdekaan,” katanya.
Gadis pemalu ini turut menekankan sejarah perlu dijadikan satu pegangan untuk anak-anak muda yang mudah dipengaruhi.
Beliau yang menjadikan kejayaan ratu skuasy, Datuk Nicol Ann David, sebagai sumber inspirasinya melihat masyarakat kini juga semakin mendengar lontaran suara serta pandangan daripada anak muda sepertinya.
-- BERNAMA