SUKAN LAIN

Sazali sedia dedah salah laku MBBF

Penulis Jemputan 09/06/2018 | 12:02 MYT
Juara Mr Universe 10 kali, Sazali Samad, mahu mendedahkan segala tindakan salah laku membabitkan Persekutuan Bina Badan Malaysia (MBBF) selepas dia dihukum badan induk itu dengan lanjutan tempoh penggantungan.
Khamis lalu, MBBF mengumumkan tempoh penggantungan Sazali ditambah empat tahun lagi sehingga 2023.
Ia berikutan dia menyertai dan memenangi satu kejohanan bina badan di Shanghai, China, meskipun sedang menjalani penggantungan sehingga 2019 berikutan terlibat penggunaan bahan terlarang steroid pada 2015.
Menurut Sazali, MBBF tidak bersikap telus apabila mendakwa ada kes membabitkan atlet lain yang tidak mendapat hukuman serius daripada badan induk berkenaan.
"Saya akan dapatkan bukti-buktinya, memang ada salah laku selama ni.
"Selama 25 tahun (berkecimpung dalam bidang ini), saya ikut sahaja kehendak MBBF.
"Tetapi, apabila terkena kepada diri sendiri, saya terpaksa bongkar salah laku dalam MBBF," katanya.
Ranjau yang dilalui Sazali tidak menyekatnya untuk terus aktif dalam sukan bina badan apabila kini bergelar atlet profesional.
Tiada lagi ikatannya bersama MBBF dan walaupun dia tidak lagi dibenarkan menyertai pertandingan amatur, Sazali sebaliknya akan memberi tumpuan kepada kejohanan jemputan dan terbuka.
"Selepas hari raya, saya akan terus menjaga sistem pemakanan, latihan dan rawatan kecederaan untuk menghadapi kejohanan akan datang.
"Banyak kejohanan-kejohanan besar akan diadakan selepas ini seperti di Kuwait. Jadi, saya perlu membuat persiapan," katanya.