BINA BADAN
Saya layak jadi jurulatih kebangsaan dengan kelayakan saya -- Mike Mahen
Jaguh bina badan negara, Datuk Syarul Azman Mahen Abdullah, berasakan dirinya layak untuk menjadi jurulatih skuad kebangsaan berdasarkan kelayakannya.
Badang negara itu, yang lebih mesra dengan panggilan Mike Mahen, pernah menggondol enam gelaran Mr. Universe, enam gelaran Mr. Asia selain satu pingat emas Sukan SEA, sekali gus meletakkan dirinya sebagai antara legenda sukan bina badan negara.
Mike secara rasmi mengumumkan persaraannya sebagai atlet hari ini dan tidak berselindung di sebalik hasratnya untuk bergelar jurulatih skuad kebangsaan.
Iklan
"Saya akan tetap menjaga rutin saya, saya akan tetap menjaga tahap kecergasan saya agar dapat menjadi contoh kepada belia-belia di luar sana. Walaupun sudah bersara, saya tetap mengekalkan kecergasan saya," katanya ketika tampil sebagai tetamu jemputan Nadi Arena, hari ini.
"Saya rasa masanya sudah sampai (untuk saya bersara). Saya lagi rela bersara disebabkan kecederaan. Jika saya teruskannya, dalam lima ke 10 tahun lagi, kecederaan di lutut dan bahu saya akan menjadi lebih serius."
Ditanya mengenai perancangannya selepas ini, Mike berkata: "Bidang kejurulatihan, kerana dengan pengalaman saya selama 26 tahun dalam bidang ini, di dalam dan di luar sukan ini, saya rasa saya lebih gemar untuk menjadi seorang jurulatih.
"Saya menghargai apa yang Persatuan Bina Badan Malaysia (MBBF) tawarkan kepada saya, iaitu sebagai pengerusi bahagian pembangunan, tetapi bidang saya ini, saya seorang atlet, saya lebih mesra dengan atlet kebangsaan.
"Ramai atlet kebangsaan dan pelapis yang ada sekarang ini juga mengharapkan saya menjadi jurulatih.
"Kerana untuk menjadi jurulatih, ia bukan sekadar dengan membaca buku. Kalau macam itu, semua orang boleh jadi jurulatih.
"Ia semua tentang pengalaman, bila mana nak kawal air, bila nak hentikan garam, bila nak ambil garam semula. Ia bagaikan matematik yang anda perlu belajar sendiri. Jadi pengalaman amat penting," katanya.
Must-Watch Video