Skip to main content

Gusti

Sasha Banks: Ronda Rousey tidak akan setanding dengan saya di WWE

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

sasha-banks.jpg
Bekas Juara Wanita Raw sebanyak empat kali, Sasha Banks mendakwa yang bekas Juara Ultimate Fighting Championship (UFC), Ronda Rousey tidak akan mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengannya jika berada di WWE.

Banks atau nama sebenarnya Mercedes Kaestner-Varnado, telah membuat kenyataan berani itu semasa ditemubual dalam siaran The Sam Roberts Wrestling Podcast baru-baru ini ketika ditanya tentang kebarangkalian bintang UFC berusia 30 tahun itu untuk menyertai WWE pada masa akan datang.

“Saya telah mendengar desas-desus tersebut (Ronda ingin sertai WWE), dan saya kira ia amat menarik. Sudah tentu penyertaan Ronda akan menjadi sesuatu yang hebat. Namun perlu diingat yang kami adalah anggota Four Horsewomen dan orang luar seperti Ronda hanyalah peminat. Mereka hebat di luar tapi jika ingin beradu kekuatan dengan kami, mereka perlu masuk ke dalam barisan untuk menunggu giliran, tandatangani kontrak, jalani latihan intensif di Pusat Pembangunan Bakat WWE, sertai NXT, cipta nama dan melangkah ke roster utama. Sama seperti orang lain.

Ronda adalah seorang atlit yang mengagumkan. Beliau telah banyak mengubah lanskap dalam bidang yang diceburinya. Namun, saya tak fikir beliau sama taraf dengan saya,” ujar Banks.

Tidak dapat dipastikan sama ada kenyataan berani Sasha ini dibuat secara dalam karakter “The Boss”nya, atau gadis manis berusia 25 tahun ini benar-benar memaksudkannya. Jika apa yang beliau luahkan ini merupakan sesuatu yang benar-benar lahir dari lubuk hatinya, ia pastinya akan mengundang rasa jengkel di kalangan peminat Ronda, UFC, termasuk peminat WWE sendiri.

Umum sedia maklum yang Sasha bersama Charlotte Flair, Becky Lynch dan Bayley adalah antara individu yang telah merevolusikan divisyen gusti wanita WWE yang agak suram sebelum ini. Sejak di NXT, mereka telah berjaya meletakkan penanda aras baharu terhadap gusti wanita sehingga mampu beraksi setanding dengan bintang lelaki.

Namun perlu diingat yang Ronda Rousey bukanlah sebarangan orang yang boleh dipandang rendah. Beliau adalah atlit judo wanita pertama yang memenangi pingat gangsa di Olimpik Beijing 2008, selain cemerlang di arena seni pertahanan diri campuran (MMA) seperti Juara Bantamweight Wanita UFC dan Strikeforce.

Dengan rekod mengagumkan tersebut, WWE sudah tentu tidak akan teragak-agak untuk mengikat Ronda beraksi di syarikat sukan hiburan itu pula dan semestinya Ronda akan terus dijulang sebagai tarikan utama, mengulangi apa yang dikecapi Brock Lesnar waktu ini. Memperlekeh Ronda dan menganggapnya sebagai budak mentah hanyalah satu tindakan umpama menjolok sarang tebuan.

Sejak tewas kepada Holly Holm pada November 2015 setelah mendominasi 12 perlawanan sebelumnya, Ronda memperlahankan kerjayanya dalam gelanggang oktagon dan banyak terlibat dengan kerja-kerja luar. Beberapa bulan yang lalu, timbul pula spekulasi yang Ronda ingin beralih angin dengan menyertai arena sukan hiburan WWE pula bagi meluaskan lagi legasinya. Dilaporkan yang bintang berusia 30 tahun ini juga telah mula berlatih dengan bintang Cruiserweight veteran 205 Live, Brian Kendrick bagi mempertajamkan lagi kemahiran bergustinya.

Walaupun belum ada sebarang isyarat jelas lagi bagi mengesahkan desas-desus tersebut, ia bukanlah sesuatu yang mustahil dan pihak WWE melalui Paul ‘Triple H’ Levesque juga telah beberapa kali mengeluarkan kenyataan menyatakan WWE sedia membuka pintu seluas-luasnya untuk Ronda menyertai keluarga besar gergasi sukan hiburan tersebut.

Jika benarlah Ronda akan ke WWE, sudah tentu ia akan sedikit sebanyak mengalih tumpuan peminat daripada bintang wanita sedia ada ke arah Ronda. Pastinya akan timbul sedikit rasa kurang senang kerana ‘orang luar’ kini telah mengambil alih dan ini tentunya akan mengundang rasa gundah khususnya buat bintang sedia ada seperti Sasha.


Tidak dinafikan, anak saudara kepada Snoop Dog ini amat hebat di dalam gelanggang walaupun bertubuh kecil molek. Namun gimik “The Boss”nya itu dilihat memakan dirinya perlahan-lahan. Kenyataan-kenyataan berani yang dikeluarkan bagi mengangkat dirinya sejak kebelakangan ini amat berbahaya kerana Sasha perlu sedar yang saingan dalam divisyen wanita akan semakin sengit selepas ini.

Jika ingin dikatakan yang penyertaan Ronda ke WWE masih samar-samar dan jauh untuk diambil kisah, Sasha harus ingat yang terdapat 32 lagi penggusti wanita hebat yang kini sedang bersaing dalam Kejohanan Mae Young Classic, hanya menunggu masa untuk menyinar dan berpotensi untuk merampas takhta diva daripadanya.

Itu tidak termasuk lagi saingan daripada Juara Wanita NXT paling lama dalam sejarah, Asuka yang akan menyertai roster utama WWE pada bila-bila masa. Penyertaan mereka sudah tentu akan menghentikan senario bengkung Kejuaraan Wanita Raw yang kini hanya berlegar di sekeliling Sasha dan Alexa waktu ini.

Dengan tidak menidakkan kehebatan Sasha dan para penggusti wanita WWE yang ada waktu ini, penyertaan Ronda Rousey ke WWE pastinya akan menarik minat jutaan peminat di seluruh dunia. Bukan sahaja peminat WWE, malah peminat UFC juga akan ternanti-nanti untuk melihatkan Ronda melakukan kunci lengan (arm bar) kepada bintang WWE dan bergelar juara satu hari nanti.

Pesanan untuk The Legit Boss, kita tidak akan selamanya berada di atas. Justeru, bersiap siagalah. 


Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network dan  saksikan semua acara pay per view lain setiap bulan eksklusif secara langsung yang turut boleh diikuti di Astro Go.
 
Hafiz Azwany Taher merupakan pengasas kepada kelab komuniti Peminat Gusti Malaysia yang kini telah menghimpunkan lebih 19,000 peminat gusti di Malaysia. Diasaskan pada tahun 2010, komuniti ini kini merupakan platform utama para peminat gusti di Malaysia untuk berkongsi minat yang mendalam terhadap sukan gusti professional.

 
 

Advertisement

Must Watch Video