Skip to main content

Sukan Lain

Sarawak mahu cungkil lebih ramai Watson Nyambek

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

30417sarawak.jpg
Selari dengan hasrat untuk muncul sebagai "kuasa sukan" di negara ini, Sarawak melaungkan keazaman untuk melahirkan lebih ramai Watson Nyambek pada masa akan datang.
   
Menteri Muda Kemudahan Awam (Elektrik dan Telekomunikasi), Dr Abdul Rahman Junaidi, berkata usaha itu tidak melalui jalan pintas tetapi memerlukan komitmen jitu semua pihak yang terlibat dalam program pencarian bakat.
  
"Kami sebenarnya amat beruntung kerana kerajaan negeri dan pusat sentiasa memberi penekanan terhadap pembangunan sukan di peringkat sekolah.
   
"Justeru, semua pihak perlu berganding bahu agar pencarian bakat baharu ini dapat dijadiakan keutamaan," katanya ketika merasmikan Kejohanan Balapan dan Padang Sekolah-Sekolah Sarawak Ke-54 di Stadium Sarawak.

Beliau hadir mewakili Menteri Belia, Sukan dan Solidariti Negeri, Datuk Seri Michael Manyin Jawong.
   
Sarawak, kata Dr Abdul Rahman, tidak pernah kurang dalam melahirkan atlet berkaliber.
   
"Malah, kami cukup berbangga dengan kehebatan The Flying Dayak, Watson Nyambek, yang pernah mencipta rekod manusia terpantas Malaysia selama 19 tahun sebelum dipecahkan oleh Khairul Hafiz Jantan dengan catatan 10.18 saat pada Julai lalu," katanya.
   
Kerana itu, tegasnya, sesuai dengan menjadikan Watson sebagai idola, atlet muda negeri ini harus memiliki disiplin yang teguh dan semangat yang kuat agar dapat menyaingi manusia pantas seperti Watson dan Hafiz.
 
Katanya, pelaburan lebih RM400 juta kerajaan negeri untuk pelbagai kemudahan sukan pada tahun lalu, adalah bukti keseriusan untuk melonjakkan tahap sukan di negeri ini.
  
"Oleh itu, kami amat berharap ia dimanfaatkan sepenuhnya, bukan sahaja untuk acara sukan olahraga, malah juga sukan lain," tegasnya.
  
Dr Abdul Rahman menjelaskan beliau yakin kejohanan sukan peringkat negeri ini mampu melahirkan bakat yang boleh diketengahkan ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
  
"Kami telah melakukannya sebelum ini. Malah pada tahun lalu, atlet kami dari kejohanan ini telah mencipta nama di peringkat kebangsaan.
  
"Antaranya termasuklah Johny Ling Siew Hong, yang bukan sahaja pemegang rekod baharu Kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) untuk acara baling tukul  besi, malah muncul pemenang emas Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah Asean Ke-8 di Chiangmai, Thailand," katanya.
   
Empat atlet lain yang turut memecah rekod kebangsaan ialah Mohd Norhazim Ahmad untuk acara 200 meter lari berpagar lelaki bawah 15 tahun, Lim How Seng (lempar cakera lelaki bawah 15 tahun),  Grace Wong Xiu Mei (baling tukul besi wanita terbuka) dan Ngui Ing Biao (lempar cakera lelaki 18 tahun).
  
Kejohanan yang berlangsung dari 29 Mac hingga 3 April ini disertai oleh 12 pasukan, 1,022 atlet dan 501 pegawai.
  
Ia dianjurkan sebagai landasan memilih wakil Sarawak ke peringkat MSSM. Dalam kejohanan MSSM ke-53  pada tahun lalu di Terengganu, kontijen Sarawak muncul naib johan  dengan 13 emas 13 perak dan 15 gangsa.

Advertisement

Must Watch Video