Skip to main content

Advertisement

Sukan Lain

Sara lega Jun-beom kekal kemudi skuad poomsae

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

sarayap.jpg
Atlet taekwondo negara, Sara Yap Khim Wen, lega apabila jurulatih skuad poomsae negara dari Korea Selatan, Jin Jun-beom, kekal membimbing skuad negara tahun ini selepas kontraknya tamat sejurus berakhir Sukan Asia Indonesia, Ogos lalu.

Tunjuk ajar daripada Jun-beom selama ini membuahkan hasil dengan kejayaan Sara meraih pingat gangsa dalam Sukan Asia 2018 selain gangsa daripada Chew Wei Yan di pentas Kejohanan Dunia di Taiwan, November lalu.

Malah, khidmat Jun-beom sebelum ini turut membantu pasukan meraih pencapaian membanggakan dalam Sukan SEA 2017 dengan memenangi tiga pingat emas secara keseluruhan.

Sehubungan itu, Sara percaya bekas juara kebangsaan Korea Selatan berkenaan mampu memastikan skuad negara mengulangi kejayaan itu dalam Sukan SEA Filipina, Disember depan.

"Beliau telah melatih kami hampir tiga tahun dan banyak pencapaian yang diraih.

"Saya sangat gembira dengan perkhabaran ini dan berharap untuk meraih lebih banyak kejayaan di pentas antarabangsa," kata Sara.

Dalam pada itu, atlet berusia 25 tahun tersebut enggan lagi mimpi ngeri berdepan dua kecederaan serentak, iaitu di buku lali dan lutut pada tahun lalu berulang lagi selain ingin memastikan kejayaan pertama tahun ini berhasil dalam Kejohanan Taekwondo Kebangsaan bulan depan.

"Kami sepasukan dalam usaha meningkatkan lagi kualiti persembahan dan persiapan menghadapi Kejohanan Taekwondo Asia, Ogos depan," ujarnya.

Advertisement

Must Watch Video