Skip to main content

Sukan Lain

Saizul tetap percaya nama baru

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

sairul.jpg
Jurulatih skuad ragbi tujuh sepasukan negara, Mohd Saizul Hafifi Md Noor, masih berpegang teguh dengan prinsip menurunkan muka baru biarpun ia akan memberi kesan terhadap persembahan Malaysia dalam Kejohanan Siri Tujuh Sepasukan Asia.

Ia percaturan yang berisiko memandangkan Saizul membawa masuk enam muka baru ke dalam skuad kebangsaan bagi menggantikan beberapa pemain senior yang beraksi di pentas Sukan Asia Indonesia, bulan lalu.

Siri pertama yang berlangsung di Hong Kong pada 15 September lalu berkesudahan dengan keputusan kurang memberangsangkan apabila menduduki tangga kelapan.

Lebih teruk, Malaysia berkemungkinan akan turun daripada saingan Siri Asia ke saingan bawahan, iaitu Trofi Asia, seandainya gagal memperbaiki kedudukan mereka.

"Bagi saya, memang sukar untuk mendapatkan keserasian dalam masa yang singkat tetapi kami berharap mereka dapat menggunakan peluang beraksi di peringkat antarabangsa," kata Saizul.

Malaysia akan mengharungi siri kedua yang bakal berlangsung di Incheon, Korea Selatan pada 29 hingga 30 September ini dan Saizul berharap barisan pemainnya mampu memperbaiki kedudukan mereka berbanding siri pertama di Hong Kong itu.

Aksi terakhir Siri Tujuh Sepasukan Asia 2018 akan dijalankan di Sri Lanka pada 14 dan 15 Oktober depan.

"Untuk saingan di Korea Selatan dan Sri Lanka, kami cuba gabungkan pemain-pemain lama dan baru agar dapat menaikkan ranking.

"Kami akan cuba mendapatkan tempat keenam atau kelima ketika di Korea Selatan nanti."

Advertisement

Must Watch Video