Skip to main content

Sukan Lain

Saizul tekankan prestasi, bukan hanya semangat

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

sairul25118.jpg
Dua pertandingan menjadi pentas terbaik buat pemain skuad ragbi tujuh sepasukan negara untuk membuktikan kemampuan agar berada dalam senarai akhir pasukan bagi menghadapi Sukan Komanwel Gold Coast, dari 4 hingga 15 April depan.

Selepas mempamer aksi cemerlang dengan meraih emas dalam Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos lalu, skuad ragbi 7's negara mengidamkan pencapaian terpuji di pentas yang lebih tinggi.

Antara persediaan awal mereka termasuk kunjungan ke Sydney awal bulan depan, dengan dua pertandingan akan disertai mereka.

Di samping itu, skuad kendalian Saizul Hafifi Mohd Noor itu juga akan mengambil bahagian dalam Kejohanan Borneo Sevens, bermula 16 Februari ini.

Lantas, Saizul menjangkakan dia dapat mengenal pasti 12 pemain yang akan membawa cabaran negara di Gold Coast berdasarkan prestasi dalam dua tugasan itu.

"Kalau mengikut perancangan kami, memang kami akan pastikan pemain dapat memberikan persembahan terbaik sepanjang program yang diatur di Borneo dan Sydney.

"Selepas itu, kami akan memilih pemain terbaik untuk skuad Sukan Komanwel," katanya.

Terdahulu, skuad itu menerima kunjungan Chef-de-Mission (CDM) kontinjen negara ke Sukan Komanwel 2018, Huang Ying How.

Satu cabaran buat mereka apabila Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) menetapkan sasaran untuk berada dalam kelompok 12 terbaik, dengan satu kemenangan menjadi matlamat awal.

Saingan di Gold Coast lebih kepada pendedahan, dengan objektif utama adalah untuk memastikan kilauan pingat dapat diraih dalam Sukan Asia Indonesia, Ogos depan.

"Persembahan baik adalah paling penting, bukan hanya daripada semangat semata-mata. Diharapkan pengalaman mereka dalam beberapa tahun ini dapat membantu.

"Ia supaya persembahan perlu bergantung kepada prestasi, bukan hanya daripada semangat," ujar Saizul lagi.

Advertisement

Must Watch Video