Skip to main content

Advertisement

Sukan Lain

Sabah tuan rumah WAGC

img-20190301-wa0001.jpg

Sabah akan menjadi tuan rumah Kejohanan Golf Amatur Dunia (WAGC) yang akan berlangsung dari 19 hingga 26 Oktober depan.

Kejohanan anjuran Delta Trend Golf & Leisure Holiday dengan kerjasama Perbadanan Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) serta ditaja oleh Perodua itu dijangka disertai seramai kira-kira 400 pemain golf amatur dari 40 negara.

Advertisement

Selain menjadi menjadi tuan rumah untuk final kejohanan berkenaan yang akan berlangsung di Sabah Golf & Country Club, tiga lagi venue di negeri itu turut dipilih sebagai tuan rumah bagi pusingan kelayakan, iaitu di Sutera Harbour Marina Golf & Country Club, Nexus Golf Resort Karambunai serta Dalit Bay Golf & Country Club.

Lain-lain venue bagi pusingan kelayakan ialah Kuala Lumpur, Johor, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan juga Sarawak, dengan ia akan berlangsung setiap bulan bermula 21 Mac ini sehinggalah final nanti.

Sementara itu, Presiden WAGC, Isac Saminathan, berkata selain kehadiran 400 peserta dalam final nanti, masing-masing seramai 120 peserta dijangka menyertai pusingan kelayakan di setiap venue yang terpilih.

"Kita juga akan menampilkan pemain-pemain golf amatur terbaik kita dan untuk pengetahuan anda, pasukan Malaysia pernah dua kali dinobat sebagai juara keseluruhan, iaitu pada 2012 dan 2015, selain muncul naib juara pada edisi 2016 serta 2018," katanya dalam sidang media di Kota Kinabalu, semalam.

Terdahulu, Pengerusi Tourism Malaysia, Datuk Ahmad Shah Hussein Tambakau, berkata di samping mempromosikan sukan golf, kejohanan berprestij itu juga mampu meningkatkan lagi industri pelancongan negara, khususnya di Sabah.

"Seramai kira-kira 400 pemain golf amatur dari dalam dan luar negara akan berkampung di Sabah, Oktober depan dan kita bukan hanya bercakap mengenai pemain kerana mereka pastinya akan membawa keluarga mereka bersama.

"Ini satu peluang kepada Sabah untuk membuktikan serta menunjukkan kepada dunia keunikan dan kecantikan negeri ini dan sudah pasti ia memberi kesan kepada industri pelancongan kita," katanya.

Must Watch Video