Skip to main content

Sukan Lain

Sabah hasrat jadi tuan rumah Sukma 2022

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

sabah-sukma-2022.jpg
Sabah berhasrat untuk menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (Sukma) 2022 dan akan melakukan bidaan secara rasmi bagi menganjurkan kejohanan dwitahunan negara itu. 

Menteri Belia dan Sukan Sabah, Phoong Jin Zhe, berkata keputusan untuk membida penganjuran Sukma 2022 itu dibuat dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma, 19 September lalu. 

"Kami berharap Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abd Rahman, boleh memberikan peluang kepada Sabah.

"Objektif Sukma adalah untuk membangunkan serta mendorong acara sukan di negeri masing-masing dan Sabah wajar diberi peluang yang sama rata untuk membida.

"Sabah memerlukan banyak sumber untuk membangunkan kemudahan dan bakat sukan, oleh itu menerusi penganjuran Sukan Malaysia, kemudahan sukan di negeri ini dapat dibangunkan dan dinaik taraf, seterusnya meningkatkan latihan dan prestasi atlet Sabah," katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Kenyataan itu dibuat selepas Phoong dan rombongannya melakukan kunjungan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, di Pejabat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) di Kota Kinabalu, hari ini. 

Turut hadir dalam kunjungan hormat itu termasuk Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, Arunarsin Taib, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Sabah, Neldin Gimbang, Pengurus Besar Lembaga Sukan Negeri Sabah, Terrence Pudin, Pengarah Majlis Sukan Negeri Sabah, Mohd Asneh Mohd Noor, Setiausaha Politik, Henry Shim Chee On, serta Setiausaha Perhubungan Awam, Katrina Leong.

Dalam kunjungan itu, Shafie diberi taklimat mengenai hasrat KBS Sabah itu dan meminta mereka untuk melakukan yang terbaik bagi membida penganjuran Sukma 2022 walaupun berdepan dengan saingan hebat daripada Selangor.

Phoong berkata beliau sentiasa berusaha dan giat mencari pendekatan untuk menambah baik kemudahan sukan di Sabah sejak dilantik sebagai menteri belia dan sukan negeri berkenaan. 

"Jika berjaya menjadi tuan rumah Sukma 2022, maka ini adalah peluang untuk menaik taraf kemudahan sukan di Sabah agar setaraf antarabangsa, ditambah pula dengan sektor pelancongan Sabah yang amat berpotensi.

"Selain itu, membangunkan ekonomi negeri menerusi penganjuran acara sukan antarabangsa adalah antara tugas saya," katanya. 

Tambah beliau, Negeri Di Bawah Bayu itu pernah menjadi tuan rumah pada 2002 dan jika pembidaan kali ini berjaya, maka ia bakal menjadi acara besar yang amat bermakna serta dinanti-nantikan oleh rakyat Sabah selepas 20 tahun.
 

Advertisement

Must Watch Video