Atlet triathlon negara, Esther Joy, dinobatkan sebagai pemenang kategori 5000 meter wanita elit Kejohanan Run The Track 2024 dengan catatan 18 minit 52 saat mengatasi Geetha Sivaraja dan Michelle Chua.

Kejayaan itu dianggap sebagai hadiah terbaik buatnya sempena sambutan Hari Natal, Rabu ini.

"Kemenangan ini merupakan hadiah ulang tahun dan hadiah Hari Natal sebagai penutup 2024.

"Ini merupakan kali pertama saya berlari pada waktu malam dan saya sangat teruja dengan komuniti yang sungguh kuat," katanya kepada wartawan Astro Arena, Faizal Bazari.

Sementara itu, Sanjay Manimaran mengungguli kategori lelaki elit selepas menamatkan 13 pusingan dengan rekod 15 minit 18s menewaskan Daren James Nair dan Asyhraf Zaidin.

"Ini merupakan penampilan kali kedua saya dalam kejohanan ini. Saya sangat gembira dan teruja. Ramai orang hadir menyokong saya.

"Saya memang berpuas hati dengan persembahan diri sendiri," katanya di Universiti Malaya (UM).

Tidak melepaskan peluang, ahli Parlimen Muar merangkap bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, turut memeriahkan kejohanan tersebut dan mengambil bahagian dalam kategori terbuka lelaki yang mengakhiri saingan di tempat ke-40.

"Ini kali pertama saya menyertai larian trek sejauh 5km. Selalunya saya akan membuat larian jarak jauh.

"Saya sangat gembira kerana diberi peluang bersama komuniti yang hadir hanya kerana ingin memberi sokongan," katanya di Nadi Weekend.