FUTSAL

Rosmadi Ismail yakin sentuhan Rakphol Sainetngam pacu skuad futsal layak ke Piala Asia

Stadium Astro
Husna Zainudin
05/04/2025
11:03 MYT
Sponsor Banner
Rosmadi Ismail yakin sentuhan Rakphol Sainetngam pacu skuad futsal layak ke Piala Asia
Pengerusi Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Rosmadi Ismail memaklumkan masa depan ketua jurulatih futsal negara, Rakphol Sainetngam bergantung kepada pencapaian dalam dua kejohanan utama yang akan dihadapi skuad kebangsaan tahun ini iaitu kelayakan Piala Asia 2026 serta temasya Sukan SEA Thailand 2025.
Jelasnya yang juga Naib Presiden FAM, Rakphol perlu merealisasikan misi Malaysia untuk layak ke pentas Piala Asia Futsal 2026 selain menaiki podium di Sukan SEA Thailand penghujung tahun ini.
Rosmadi percaya, dengan pengalaman yang dimiliki pengendali berusia 46 tahun kelahiran Thailand itu, tidak mustahil Malaysia sekali lagi melayakkan diri ke Piala Asia selepas tampil kali terakhir pada edisi 2018.
"Kita sebenarnya berselera tinggi untuk kelayakan Piala Asia jadi kita akan berusaha untuk melayakkan diri dan perkara ini tidak mustahil untuk direalisasikan sekiranya kita nilai menerusi pencapaian kita edisi lepas.
"Walaupun kita tidak layak pada edisi lepas tetapi kita telah memberi saingan yang cukup baik daripada setiap pemain dalam pasukan dan jurulatih.
"Saya yakin dengan pengalaman dan idea Rakhpol, dia mampu mempamerkan sesuatu yang positif buat pasukan kebangsaan," katanya.
Dalam perkembangan sama, Rosmadi turut mengesahkan FAM akan kembali menganjurkan kejohanan Liga Bola Sepak Pantai dalam usaha mencungkil lebih ramai bakat pelapis berkualiti untuk diketengahkan bagi menyarung jersi negara pada masa akan datang.
"Lokasi kita akan lihat maklum balas daripada mana-mana persatuan yang lain untuk bekerjasama dengan kita kerana kancah bola sepak pantai ini mampu dipertingkatkan di peringkat antarabangsa dengan kehadiran pemain-pemain yang terbaik.
"Saya percaya bakat ini mampu dicungkil menerusi pelaksanaan liga tempatan," tambahnya.
Kejohanan yang dijadual berlangsung pada Julai depan itu difahamkan akan menjadikan negeri Terengganu sebagai penganjur.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video