HOKI
Roslan sasar kembalikan zaman kegemilangan THT
Ketua jurulatih Terengganu Hockey Team (THT), Roslan Jamaluddin, melaung amaran mahu mengembalikan zaman kegemilangan pasukannya musim ini.
Dan, dia sedia mengambil kesempatan atas permasalahan yang melanda juara bertahan Liga Hoki Malaysia, UniKL.
Roslan berupaya menjulang trofi pertamanya bersama THT apabila skuad yang berpangkalan di Pantai Timur itu memulakan kempen musim ini dalam saingan Piala Sumbangsih.
Roslan melebarkan portfolio kejurulatihannya bersama THT selepas mengemudi Perak menjulang kejuaraan Piala Razak pada 2021.
Bekas penjaga gol negara itu meletakkan sasaran untuk memecahkan dominasi UniKL dan menjulang kejuaraan Liga Hoki Malaysia (LHM) yang kali terakhir dimenangi THT pada 2018.
Biarpun THT melakukan persiapan pra-musim yang singkat, Roslan kekal optimis mengecapi kejayaan sambil mengekalkan Piala TNB yang dimenangi THT musim lalu.
Sementara itu, Roslan sudah mula merencana aspek kekuatan pertahanan THT yang diperkuat bekas kapten negara dan keberkesanan pukulan sudut penalti yang selama ini dimonopoli pemain import.