HOKI
Roslan: Aksi Farah Ayuni wajar raih pujian
Skuad hoki wanita negara menamatkan saingan peringkat kumpulan Liga Hoki Dunia Separuh Akhir di Brussels di tangga terakhir selepas gagal mencatat sebarang kemenangan termasuk tewas dalam aksi menentang New Zealand 1-0, semalam.
Walaupun tidak berjaya menjaringkan gol dalam perlawanan tersebut, namun pujian harus diberikan kepada penjaga gol kebangsaan, Farah Ayuni Yahya, selepas berjaya mengekang pintu golnya daripada dibolosi dengan jumlah yang banyak, termasuk kemampuan menggagalkan pukulan sudut penalti New Zealand sebanyak 11 kali.
Bagi jurulatih penjaga gol Malaysia, Roslan Jamaluddin, pemain-pemain tetap berhak meraih kredit kerana sentiasa berusaha keras.
Iklan
“Tahniah buat pasukan kami selepas memberikan komitmen yang terbaik dan sudah pasti pujian besar buat Ayuni yang mempamerkan aksi di tahap maksimum menggagalkan banyak percubaan New Zealand,” katanya.
Bagi Farah Ayuni, dia tidak mahu menganggap dirinya sebagai satu-satunya pemain yang perlu diberikan pujian tetapi rakan sepasukannya juga berhak menerimanya.
“Pada saya, prestasi yang diperoleh bukan datang dari diri sendiri, sebaliknya hasil kerjasama satu pasukan.
“Segala perancangan kami, termasuk kaji selidik melalui tontonan video, berjaya membantu kami,” katanya.
Must-Watch Video