SEPAK TAKRAW
Revolusi sepak takraw dipenuhi teknologi canggih, akademi sebenar



Selepas sembilan tahun, Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) kini memasuki era baharu dengan pembangunan sebuah akademi latihan moden yang bakal dilengkapi teknologi canggih, termasuk gimnasium berprestasi tinggi dan kemudahan penginapan bagi atlet.
Presiden PSM, Datuk Sumali Reduan, menegaskan bahawa penggunaan teknologi terkini, seperti sistem analisis prestasi atlet akan menjadi elemen utama dalam memperkasakan latihan, memantau perkembangan pemain, serta meningkatkan daya saing pasukan negara di pentas antarabangsa.
"Saya akan berbincang dengan jurulatih mengenai elemen-elemen penting untuk akademi ini, termasuk aspek kelajuan, servis, serta penggunaan mesin dan peralatan canggih yang diperlukan.
"Semuanya akan disediakan agar akademi ini benar-benar menjadi pusat kecemerlangan sepak takraw," katanya kepada wartawan Astro Arena, Husna Zainuddin.
Selain itu, PSM turut merancang pembinaan sebuah arkib khas bagi mendokumentasikan sejarah serta pencapaian gemilang skuad sepak takraw negara.
Arkib ini akan menjadi sumber rujukan generasi akan datang dan memelihara warisan sukan tradisi ini, termasuk kejayaan di peringkat Asia dan dunia.
"Jika perlu, saya mahu menyediakan kemudahan seperti mandian ais untuk pemulihan atlet, supaya akademi ini benar-benar lengkap.
"Kini, dengan adanya kompleks ini, kita harus memastikan setiap kemudahan dimanfaatkan sepenuhnya.
"Ini adalah amanah dan tanggungjawab, dan kita mahu membuktikan bahawa sepaktakraw telah berkembang jauh berbanding dahulu," tambahnya.