SUKAN LAIN

Renang Terbuka Singapura: Medan perenang negara rebut tiket Kejohanan Dunia

Penulis Jemputan 02/05/2019 | 05:17 MYT
Ketua jurulatih skuad renang negara, Chris Martin, tidak panik tatkala tiada seorang pun anak didiknya berjaya melayakkan diri ke Kejohanan Renang Dunia menerusi kempen Kejohanan Renang Terbuka Malaysia 2019, minggu lalu.
Beberapa perenang negara gagal melepasi syarat kelayakan ditetapkan Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA), terutama atlet harapan, Welson Sim.
Di sebalik kejayaan Welson membawa pulang empat emas dan memecahkan rekod kebangsaan 100 meter gaya bebas, ia masih belum cukup buat atlet dari Sarawak itu untuk membuat penampilan di Gwangju, Korea Selatan, depan.
Namun, Martin, yang baru sahaja membimbing skuad renang negara sejak awal bulan lalu, menegaskan peluang masih ada buat anak buahnya dengan Terbuka Singapura bakal menjadi tiket terakhir mereka untuk menempah slot ke saingan dunia.
"Nasib perenang negara untuk layak ke Kejohanan Dunia terletak dalam saingan Terbuka Singapura, akhir bulan depan.
"Terbuka Malaysia merupakan kejohanan pertama kami musim ini," katanya.
Dalam masa yang sama, Martin turut memantau perkembangan seorang lagi perenang negara, Phee Jinq En, yang kini melanjutkan pelajaran di Universiti Purdue, Amerika Syarikat.
Jinq En, yang memegang dua rekod kebangsaan bagi acara 50 dan 100m kuak dada, menunjukkan prestasi cemerlang apabila meraih gelaran juara dalam Siri Kejuaraan Renang Speedo di Indianapolis dengan catatan 1 minit 9.59 saat, Mac lalu.
"Jinq En sedang berusaha untuk memenuhi tuntutan jadual yang telah disusun dan dia akan tiba di sini bulan depan," katanya lagi.
;