SUKAN LAIN

Renang Terbuka Malaysia: Sebastian rampas semula rekod 400m IM lelaki

Penulis Jemputan 27/04/2019 | 11:18 MYT
Perenang muda, Sebastian Soon, memastikan rekod kebangsaan acara 400 meter rampaian individu (IM) kembali menjadi miliknya dengan merakamkan 4:28.34 saat dalam Kejohanan Renang Terbuka Malaysia 2019 di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, hari ini.
Sebelum ini, Sebastian, melakar rekod kebangsaan 4:30.85s dalam acara itu ketika Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah Asean pada Julai 2018.
Bagaimanapun, Tia'a Fang Der yang mewakili Johor memecahkan rekod itu dua bulan kemudian dalam Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018 dengan catatan 4:30.48s untuk membawa pulang pingat emas sementara Sebastian meraih perak.
Namun, hari ini dia kembali menguasai rekod kebangsaan dan lebih manis lagi, meninggalkan Fang Der untuk gangsa sementara perak milik Arvin Chahal dari Terengganu.
"Saya memang menyasarkan untuk merampas semula rekod baru yang dilakukan Fang Der.
"Segalanya berjalan dengan cukup lancar hari ini untuk saya melunaskan sasaran yang ditetapkan," kata atlet yang mewakili Kuala Lumpur itu.
Sementara itu, atlet tumpuan, Welson Sim, yang mewakili Sarawak, mempamerkan kuakan bertenaga untuk membawa pulang emas ketiga edisi ini setelah mengungguli acara 200m gaya bebas.
Biarpun dia memperbaharui rekod kejohanan dengan catatan 1:47.48s, namun dia sedikit terkilan kerana dibezakan 0.12s sahaja untuk memecahkan rekod kebangsaan 1:47.36s yang juga miliknya.
"Perasaan saya bercampur-baur. Ia catatan kedua terbaik saya dalam acara ini tetapi saya dipisahkan 0.12s.
"Hakikatnya saya berasa agak terkilan kerana saya berasakan boleh berenang lebih pantas lagi," kata Welson.
;