SUKAN LAIN
Renang Terbuka Malaysia: Hoe Yan raih dua emas
Perenang muda meningkat naik, Khiew Hoe Yan, langkah kanan pada hari pertama Kejohanan Renang Terbuka Malaysia apabila merangkul dua emas
Lebih manis, dia berjaya menumbangkan seteru, Welson Sim bagi saingan akhir 400 meter gaya bebas, sekaligus tempah slot ke Sukan SEA Vietnam Mei depan.
Ia pertembungan yang dinantikan peminat memandangkan Welson yang juga pemegang rekod kebangsaan bagi acara ini, sementara Hoe Yan pula kini antara prospek terbaik dalam kem kebangsaan.
Namun Hoe Yan, yang mewakili Kuala Lumpur membuktikan dia lebih dahagakan tiket automatik ke Sukan SEA apabila mengatasi Welson yang mewakili Sarawak dengan catatan 3 minit 50.56 saat untuk merangkul emas, sekaligus mengatasi had masa kelayakan ke sukan dwitahunan itu dengan catatan 3:52.65 saat.
Malang juga buat Welson biarpun menduduki tempat kedua, namun catatan yang dilakar, 3:57.88s menyukarkan dirinya untuk layak ke Vietnam.
Selepas itu mereka kembali berentap dalam acara 4x100m, Hoe Yan sekali lagi unggul untuk membantu Kuala Lumpur menang dengan catatan 3:52.86 saat, untuk menafikan Sarawak yang turut dibarisi Welson di tempat kedua.
Terdahulu pemenang pingat emas Sukan Malaysia (Sukma) 2018, Goh Chia Tong dari Melaka menepati ramalan untuk mengungguli saingan wanita 400m gaya bebas.
Bagaimanapun catatan dilakar Chia Tong iaitu 4:27.55s belum cukup untuk melepasi had kelayakan ke Sukan SEA iaitu 4:17.59s.