SUKAN-LAIN

Renang Terbuka Malaysia: Daniel Bego sambut baik peserta luar negara

Shaiful Shamsudin 10/03/2023 | 11:26 MYT
Kejohanan Renang Terbuka Malaysia menjanjikan persaingan lebih menarik apabila penyertaan kali ini turut melibatkan peserta dari Taiwan.
Ia satu perkembangan yang baik selepas edisi terdahulu hanya membabitkan perenang tempatan dan perkara ini tidak memberikan impak berkesan.
Bekas perenang negara yang kini mengendali pasukan Kuala Lumpur, Daniel Bego, ingin melihat tahap yang lebih baik dalam penganjuran kali ini.
"Dengan kehadiran perenang luar, saya rasa standard kejohanan akan lebih tinggi dan saingan menjadi lebih bagus.
"Memandangkan ada perenang yang sudah pun bersara, jadi saya akan memperkenalkan wajah baru yang dalam peralihan ke bahagian senior, " katanya.
Sehari sebelum bermula kejohanan, tinjauan krew Nadi Arena ke sesi latihan di Stadium Akuatik Nasional, Bukit Jalil, menyaksikan kelibat perenang negara, Welson Sim, selain dari kelibat perenang Taiwan, Eddi Wang. yang berada di kedudukan ke-7 Asia bagi acara 100 dan 200 meter kuak kupu kupu.
#Renang #Renang Terbuka Malaysia
;