SUKAN ASIA 2018

Renang seirama: Yhing Huey, Hua Wei beraksi dalam kesakitan

Penulis Jemputan 28/08/2018 | 07:22 MYT
"Mereka beraksi dalam keadaan sakit," itu reaksi jurulatih renang seirama negara, Long Yan, yang mengakui bimbang dengan keadaan anak buahnya, Gan Hua Wei dan Lee Yhing Huey, apabila terpaksa beraksi dalam keadaan tidak cergas dalam acara rutin bebas, hari ini.
Kedua-dua tonggak utama renang seirama ini berhadapan masalah kecederaan sebelum saingan Sukan Asia membuka tirai.
Gandingan itu, bagaimanapun, perlu diteruskan dalam saingan rutin bebas, bersesuaian dengan kredibiliti mereka sebagai pasangan terbaik Asia Tenggara menerusi emas dalam saingan Sukan SEA 2017.
Kecederaan pinggang Hua Wei dan kesan pembedahan bahu Yhing Huey pada awal tahun ini merencatkan aksi Malaysia hari ini.
"Selepas tamat Sukan Asia, mereka akan berehat dan pulih sepenuhnya," kata Long Yan.
Walaupun sekadar menduduki tangga kelapan menerusi mata keseluruhan 148.3363 dan gagal sekurang-kurangnya menyamai pencapaian di tangga keenam pada 2010, kedua-dua atlet ini menyifatkan persembahan mereka lebin baik dari apa yang ditampilkan dalam Sukan SEA lalu.
"Saya menyertai sesi latihan agak lewat selepas pulih daripada pembedahan," kata Yhing Huey.
"Kami telah lama berlatih untuk rutin ini tetapi permarkahan tidak cukup baik buat Malaysia," kata Hua Wei.
;