SUKAN ASIA 2018
Renang seirama: Yan Nie, Hua Wei pamer aksi cemerlang
Foong Yan Nie melaksanakan tugas dengan baik walaupun hanya sempat bergandingan selama tiga bulan bersama Gan Hua Wei apabila Malaysia meraih tangga kelapan menerusi 73.2032 mata rutin teknikal duet renang seirama Sukan Asia Indonesia di Pusat Akuatik, Gelora Bung Karno, hari ini.
Gandingan Hua Wei-Lee Yhing Huey terpaksa dirombak ekoran kecederaan melanda Yhing Huey.
Ia memaksa pengendali negara, Long Yan, memasukkan Yan Nie, sekali gus menyaksikan Malaysia diwakili kedua-dua perenang yang baru membuat penampilan sulung temasya.
Cabaran itu disambut dengan aksi kemas olehYan Nie-Hua Wei untuk menamatkan rutin pertama di tangga kelapan.
"Saya melakukan rutin teknikal dengan Hua Wei, dan Hua Wei selepas ini akan bergandingan dengan Yhing Huey dalam rutin bebas esok. Ini adalah sukan subjektif dan ia bergantung kepada juri tetapi kami melakukannya dengan baik," kata Yan Nie.
"Saya rasa kami buat dengan cukup. Seperti yang dikatakan, kami melakukan dengan baik hari ini dan ia bergantung kepada juri. Kalau mereka tengok tidak bagus, kami perlu berusaha keras lagi, " kata Hua Wei.
Juara bertahan, China, berada di ranking pertama menerusi 92.4101 mata, diikuti Jepun sementara Uzbekistan ketiga.
Pencapaian terbaik Malaysia ialah tangga keenam ketika temasya 2010 di Guangzhou, China.
Pasangan negara masih berpeluang mengatasi pencapaian itu apabila turun dalam rutin bebas, esok.