Skip to main content

Sukan SEA

Renang Berirama: Zylane kian serasi dengan Pusat Akuatik Bukit Jalil

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

renan-berirama-160817.jpg
Atlet renang berirama negara, Zylane Lee Yhing Huey, semakin mendapat keserasian dengan suasana di Pusat Akuatik Nasional dalam misi memburu emas acara solo yang bermula esok.

Zylane serta skuad renang berirama negara menjalani latihan di Pusat Akuatik Nasional sejak ia menjalani kerja naik taraf pertengahan Julai lalu.

Sepanjang tempoh itu, dia giat menjalani latihan dalam usaha memperbaharui teknik bagi meningkatkan peluang memburu emas acara solo rutin dan teknikal.

"Keadaan kolam di Bukit Jalil sangat baik walaupun suhu airnya agak sejuk.

"Bagaimanapun, ia tidak menggugat rutin yang saya telah berlatih untuk beraksi dalam Sukan SEA.

"Saya akan melakukannya dengan baik dan selebihnya terpulang kepada juri dalam memberikan pemarkahan.

"Berkenaan dengan juri, ia di luar kawalan saya, namun saya mampu menguasai diri untuk mengharumkan nama Malaysia,"

Edisi 2015 menyaksikan atlet berusia 25 tahun ini menjadi penyumbang emas tunggal menerusi kategori duet bersama Katrina Ann Abdul Hadi.

Persaraan Katrina daripada sukan ini menyaksikan Zylane kini bergandingan dengan atlet muda, Gan Hua Wei.

Walaupun baharu setahun digandingkan bersama, Zylane percaya kombinasinya bersama Hua Wei mampu menyumbangkan pingat buat negara.

"Setakat ini, kami melakukannya dengan baik dan banyak menunjukkan peningkatan sejak tahun lalu. Gandingan kami semakin bagus.

"Beraksi di tempat sendiri menjadikan tekanan kami berganda. Kami menjadikan ia sebagai satu dorongan dan ia sesuatu yang bagus untuk kami berdepan sedikit tekanan."

Saingan renang berirama kali ini menyaksikan Malaysia akan menyertai  kesemua lima acara dengan tiga emas menjadi sasaran.

Advertisement

Must Watch Video