PERMOTORAN
RCB Minimoto Championship: Perempuan juga hebat dalam sukan permotoran -- Wan Adra Mikayla
Satu perlumbaan yang penuh mendebarkan!
itulah ungkapan terbaik menggambarkan RCB Minimoto Championship yang menyaksikan penampilan sulung Wan Adra Mikayla Wan Mohd Muzri mencetus perseteruan hebat dengan pendahulu, Fayyad Anaqi.
Wan Adra Mikayla menggegarkan Litar Horizon Beranang dengan menjuarai perlumbaan 1, hari ini namun terpaksa akur dalam perlumbaan 2 dan pengalaman Fayyad terbukti menerusi ketenangannya untuk merampas kemenangan pada saat-saat akhir.
Iklan
"Saya sangat gembira dapat menjuarai perlumbaan 1.
"Sedikit kesilapan membuatkan saya dipotong dalam perlumbaan 2.
"Saya boleh buktikan perempuan juga boleh beraksi dalam sukan permotoran ini," katanya di Nadi Weekend.
Pelakon cilik itu menonjolkan potensi besar hinggakan ibu bapanya menyatakan hasrat untuk menyertai kategori 110 SIC Ohvale Junior Championship dalam edisi akan datang, termasuk membuka laluannya ke peringkat antarabangsa dalam masa terdekat.
"Mikayla memang minat dengan kategori 110.
"Tahun ini kami mungkin bawa dia berlumba di luar negara untuk cari pengalaman dan cabaran.
"Dia akan berlatih pada waktu malam dan pada sebelah petang dia akan berlatih menunggang motosikal.
"Dia juga masih terbabit dalam perlumbaan push bike jadi kami bahagikan masanya. Pagi pula dia bersekolah selain sibuk dengan lakonan," ujar bapanya, Datuk Wan Mohd Muzri.
Tambah ibunya, Datin Nur Syafira Mohd Zain: "Perempuan juga kena berani, jadi perempuan di luar sana marilah cuba."
Must-Watch Video