"Saya rasa tidak, bagi saya sudah cukup untuk saya berbakti buat negara!"
Berikut merupakan penjelasan daripada seorang pakar pukulan sudut penalti negara, Muhammad Razie Abdul Rahim, ketika ditemui dalam Majlis Penyampaian Pemberian Insentif kepada bekas pemain hoki Malaysia hari ini.
Kenyataan itu jelas memberikan gambaran bahawa Razie kekal dengan keputusannya secara total untuk tidak beraksi di peringkat antarabangsa.
"Bagi saya sudah cukup buat saya berbakti untuk negara, peluang buat pemain muda menyerlah dan saya percaya kita mempunyai bakat yang bagus terutamanya dalam pakar pukulan sudut penalti yang penting perlu bekerja keras," katanya.
Razie menerima insentif sebanyak RM50,000 ribu daripada Yayasan Hoki Malaysia. Malah, jumlah yang sama turut diterima Sukri Mutalib dan Tengku Ahmad Tajuddin.
Dalam pada itu, Ismail Abu, Azri Hassan dan Izad Hakimi masing-masing menerima insentif di antara RM10,000 ribu hingga RM32,000 ribu.
Majlis itu turut dihadiri Menteri Belia Dan Sukan, Hannah Yeoh dan Pengerusi Lembaga Yayasan Hoki Malaysia, Tan Sri Raja Aman Raja Ahmad.
"Memang ada dalam rancangan untuk sumbangkan kemahiran saya tetapi sementara ini saya mahu fokus kerja saya. Dalam masa akan datang saya akan membantu dalam pembanggunan hoki di Malaysia." tambahnya.
Saufi Tahir
Tue Jan 21 2025