PIALA SAS
Razie positif keupayaan skuad negara
Pertahanan skuad hoki negara, Muhammad Razie Abd Rahim, mengakui terperangkap dengan tindakan Korea Selatan yang menggunakan dua pelari pertama ketika menghadapi 11 pukulan sudut penalti Malaysia.
Situasi itu antara faktor Malaysia tersungkur 1-2 kepada Korea malam tadi untuk terlepas ke perlawanan akhir Piala Sultan Azlan Shah edisi ke-28.
"Kami dah buat sebaik mungkin untuk mendapatkan gol menerusi pukulan sudut penalti dan gol padang.
"Mungkin nasib tidak menyebelahi kami, terutama dua gol yang ditarik balik oleh pengadil, ia di luar kawalan kami," katanya sejurus tamat perlawanan di Ipoh, malam tadi.
Di sebalik gagal ke final, barisan pemain dilihat mula menyesuaikan diri dengan taktikal yang diterapkan jurulatih, Roelant Oltmans, yang dilantik Oktober lalu dan ia disambut baik oleh Razie.
"Perkara positif dalam kempen ini ialah kami segera mengatasi kesilapan, yang dilakukan ketika tewas 2-4 kepada India (kelmarin), apabila bertemu Korea (malam tadi).
"Kami positif dengan taktikal yang diterapkan Oltmans," tambahnya.
Dalam masa sama, Razie berharap penyokong tidak putus harapan terhadap kemampuan The Malaysian Hockey Tigers menjelang Siri Hoki Final 2019 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil merangkap kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020, dari 26 April hingga 4 Mei ini.
"Walaupun kami gagal ke final, kami menagih sokongan peminat kerana kami masih ada misi yang lebih penting bulan depan," katanya.