Rayzam tetap pencabar utama -- Benedict

Penulis Jemputan
Julai 11, 2019 17:46 MYT
Atlet 110 meter lari berpagar negara, Benedict Ian Gawok, masih menganggap Rayzam Shah Wan Sofian sebagai pencabar utamanya dalam pemburuan tempat ke Sukan SEA Filipina, November depan.
Pelari kelahiran Sabah itu merupakan pesaing yang berentap dengan Rayzam Shah dalam Grand Prix Olahraga Malaysia, Mac lalu.
Rayzam Shah terjatuh di pagar terakhir sebelum Benedict meraih pingat emas dalam kejohanan itu.
Meskipun pencabar berkenaan masih dibelenggu kecederaan, dia tidak mahu memandang remeh kemampuan jaguh negara itu.
"Mungkin itu bukan sesuatu yang boleh dibanggakan saya.
"Rayzam baru-baru ini mencatat 14.01 (saat) di Jerman walaupun tangannya baru pulih daripada kecederaan," katanya.
Benedict sedang menjalani latihan intensif bagi merebut tempat mewakili negara di Filipina.
"Berbaki 142 hari ini, mungkin agak sukar tetapi saya akan buat yang terbaik.
"Saya akan berlatih secara berterusan dan mencuba untuk layak ke Sukan SEA," tambahnya.