Skip to main content

Sukan Lain

Rayna tidak sangka layak ke Sukan Olimpik Remaja

raynahoh.jpg
Gimnas meningkat naik negara, Rayna Hoh, sama sekali tidak menyangka berupaya layak ke Sukan Olimpik Remaja di Argentina, Oktober depan, selepas cemerlang dalam Kejohanan Gimrama Asia di Axiata Arena, Bukit Jalil, semalam.

Rayna sebelum ini tidak meletakkan sebarang sasaran bagi mengelak tekanan tambahan. Tetapi selepas dua hari beraksi membabitkan empat rutin, iaitu bola, gelung, belantan dan reben, Rayna memperoleh himpunan mata tidak diduga.

Pungutan 53.550 mata bukan sahaja membolehkannya ke final, malah tiket untuk beraksi di Buenos Aires pada 6 Oktober nanti.

"Ada kesilapan ketika aksi belantan kerana saya selalu gementar dalam rutin itu. Jurulatih memberitahu saya agar berusaha lebih gigih lagi, terutama dalam aksi belantan. 

"Ia adalah kelemahan saya, bagaimanapun, saya berpuas hati dengan keseluruhan prestasi saya. Ia adalah tidak dijangka. Saya fikir, saya perlu bekerja keras lagi.

"Ia juga mimpi menjadi kenyataan apabila dapat melayakkan diri ke Sukan Olimpik Remaja," katanya. 

Hanya tujuh gimnas terbaik dari setiap negara dalam kejohanan ini layak beraksi di Argentina dan lapan gimnas yang mengumpul mata tertinggi daripada empat aparatus itu akan mara ke pentas akhir yang berlangsung hari ini.

Advertisement

Must Watch Video