HOKI
Ranking FIH: Skuad hoki kebangsaan lebih tumpu mutu persembahan
Skuad hoki negara merampas semula ranking 10 teratas dunia sekali gus mengundang persoalan apakah mereka layak disenarai dalam Program Road to Gold (RTG) menjelang Sukan Olimpik Paris 2024.
Ketua jurulatih skuad negara, Arul Selvaraj, gembira jika diberi peluang itu dengan harapan ia mampu membantu Malaysia untuk menamatkan kemarau penampilan sejak temasya Sydney 2000.
Menurut pengumuman yang dibuat Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, pemilihan atlet dalam program tersebut perlu memenuhi syarat iaitu 10 terbaik dunia, secara tidak langsung menjadikan skuad hoki bakal menjadi atlit berkumpulan pertama yang berkemungkinan tersenarai.
"Daripada segi ranking, ia sesuatu yang bagus tapi sebagai sebuah pasukan, tumpuan kami menjurus kepada mutu persembahan.
"Fokus utama kami ialah Sukan Asia.
"Kami berpeluang kekalkan dan perbaiki ranking menerusi Trofi Juara-Juara Asia bulan depan.
"Kalau prestasi baik maka automatik ranking pasti melonjak," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.
Dalam pada itu, tonggak kebangsaan, Fitri Saari, menjadikan pencapaian terbaik ini sebagai satu hadiah buat semua peminat hoki Malaysia dan berharap dapat terus memperbaiki kedudukan tersebut.
"Alhamdulillah kami kembali ke kedudukan 10 terbaik.
"Ia satu kebanggaan untuk pasukan dan rakyat Malaysia.
"Ranking akan turun jadi kami tidak boleh kalah dalam kejohanan antarabangsa.
"Kami perlu kerja keras untuk mendaki lagi ranking," katanya pula.