SUKAN LAIN

Ramadan bukan halangan persiapan atlet ping pong

Penulis Jemputan 06/05/2019 | 10:57 MYT
Atlet ping pong negara yang diketuai Ashraf Haikal Rizal meneruskan program latihan walaupun berpuasa demi memastikan berada di tahap terbaik menjelang Kejohanan Jemputan Antarabangsa di Chendu, China, bermula 22 Mei ini.
Ashraf tiada masalah berlatih ketika berpuasa bagi memenuhi tuntutan jadual latihan.
Terdahulu, pemain di ranking ke-160 dunia itu dan rakan-rakan berjaya meraih tempat ketiga dalam Kejohanan Jemputan di Shandong, China, bulan lalu.
"Sempena Ramadan ini, saya menjalani latihan ringan untuk sesi pagi manakala sesi latihan petang pula disingkatkan.
"Tetapi kami tetap meneruskan latihan dan tiada cuti kerana akan menyertai kejohanan dalam masa terdekat.
"Dalam masa sama, saya bimbang kehilangan rentak," katanya.
Dalam misi meningkatkan lagi prestasi atlet ping pong dalam Sukan SEA Filipina dari 30 November hingga 11 Disember depan, Persatuan Ping Pong Malaysia (TTAM) akan menghantar tiga pemain, termasuk Ashraf, untuk mengikuti kempen di Chengdu nanti.
Dalam Sukan SEA 2017, skuad ping pong negara hanya mampu merangkul pingat gangsa bagi acara berpasukan lelaki dan wanita.
Kali terakhir skuad ping pong negara meraih emas adalah dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 1989.
;