SUKAN LAIN

Rakan sepasukan harap Syaidatul Afifah kembali dengan lebih kuat

Shaiful Shamsudin 29/07/2020 | 12:23 MYT
Ketiadaan kudrat Syaidatul Afifah Badrul Hamidi dalam kem boling tenpin negara buat satu waktu yang tidak menentu ibarat kehilangan satu anggota badan buat skuad wanita.
Tatkala Syaidatul Afifah perlu menangani cabaran radang jangkitan paru-paru, rakan sepasukan yang menganggapnya seperti keluarga sendiri, hari ini tampil meluahkan rasa kehilangannya kepada wakil Nadi Arena, Shahrazad Sani.
"Sebelum ini ada juga dalam kalangan ahli keluarga saya yang pernah dijangkiti.
"Justeru, saya perlu berehat sepenuhnya selama seminggu dan mengambil rawatan antibiotik," kata sebahagian daripada tonggak skuad wanita negara dalam Kejohanan Boling Dunia di Las Vegas pada 2017 itu.
Sementara itu, Esther Cheah menuntut rakan sepasukannya itu supaya memberi perhatian kepada aspek kesihatan terlebih dahulu biarpun mengakui rindu menjalani latihan bersama.
"Saya sudah lama tidak berjumpa dengannya sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diperkenalkan Mac lalu dan kini dia berdepan masalah lain pula.
"Kami terasa kehilangan kerana sebelum ini kami berenam.
"Apa yang penting, kesihatannya dan dia dapat sembuh sepenuhnya. Saya harap dia kembali secepat mungkin.
"Saya bersimpati dengannya. Dia seorang yang tabah dan setiap cabaran akan mematangkannya.
"Saya yakin dia akan bangkit tahun depan," katanya.
;