Raih gelaran Ironman pada usia 61 tahun, empat kali gagal


Oktober 18, 2024 10:25 MYT
Usaha yang berterusan dan belajar daripada kelemahan lalu menjadikan seorang lelaki meraih gelaran Ironman Malaysia pada usia 61 tahun.
Pesara, Tajudin Mustaffa, berkata kejayaan itu merupakan pencapaian terbesar yang diraihnya selepas lima kali menyertai sukan triatlon iaitu Kejohanan Ironman Malaysia di Langkawi.
"Saya masuk Ironman kali pertama pada 2009 tetapi saya tidak berjaya habiskan, percubaan kedua adalah 2018 dan saya berjaya sampai penamat, namun lebih dua minit daripada masa yang ditetapkan iaitu 17 jam.
"2019 saya masuk lagi, tapi tak habis sebab saya cedera ketika larian yang ke tujuh kilometer. Itu yang terakhir sebelum negara dilanda Covid-19.
"Tahun lepas, saya cuba lagi, namun masih tidak berjaya tamatkan sebab hadapi masalah pada kilometer ke-16 ketika larian," katanya.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan walaupun menghadapi kegagalan sebanyak empat kali, namun itu tidak menjadi halangan kepadanya untuk terus berusaha.
Malah katanya, semua kelemahan yang berlaku sebelum ini dijadikan sebagai pengajaran untuk terus memperbaiki diri menjadi lebih baik dan berazam mahu mendapatkan gelaran iron man.
"Tahun ini saya berlatih dengan gigih dengan belajar daripada kesalahan dan kelemahan empat tahun sebelum ini dan akhirnya berjaya meraih gelaran Ironman Malaysia dengan catatan masa 15 jam 54 minit 23 saat.
"Tipulah jika tiada cabaran ketika latihan, memang tidak dinafikan. Macam berbasikal, agak sukar untuk saya buat latihan sebab kita ada dua pilihan sama ada di jalan raya atau di rumah menggunakan 'bike smart trainer'.
"Kalau jalan raya, risiko sangat tinggi sebab banyak kenderaan. Kawan saya pun ramai yang kemalangan ketika latihan, jadi untuk elakkan risiko... 80 peratus latihan berbasikal saya buat di rumah sahaja," jelasnya.
Tambahnya, untuk mencapai kejayaan seperti itu bukan mudah kerana ia memerlukan daya tahan yang kuat daripada segi mental dan fizikal.
Selain daripada latihan yang konsisten dia juga menjaga pemakanan, makan vitamin untuk pemulihan selepas latihan dan tidak pernah merokok.
"Saya makan saja macam orang biasa, tiada pantang larang tapi saya akan sentiasa lakukan senaman atau latihan lebih lama jika saya makan dan minum manis dalam kuantiti banyak.
"Kalau kita makan 'tiga' pastikan kita buang 'empat', kena lebih daripada jumlah kita makan. Barulah badan akan kekal sihat dan cergas. Jangan makan makanan yang tak sihat seperti banyak minyak, jajan dan makanan proses," katanya.
--Sinar Harian
#Triatlon #Ironman Malaysia
;