Skip to main content

Sukan Lain

Ragbi Super School Malaysia 2025 ke fasa debaran peringkat suku akhir!

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

ragbi.jpg
Aksi Super Schools Rugby (SSR) 2025 kini memasuki fasa paling mendebarkan – peringkat Suku Akhir, yang bakal berlangsung pada 12 dan 13 Julai 2025 di Taman Ekuestrian Putrajaya.

Selepas lebih sebulan kejohanan berlangsung di seluruh negara, kini hanya lapan pasukan terbaik kekal, masing-masing membawa misi yang sarat dengan sejarah, harapan dan cita-cita untuk menjulang kejuaraan paling berprestij dalam landskap ragbi sekolah menengah negara.

Maktab Sultan Abu Bakar (EC) akan berdepan ujian paling getir apabila bertemu musuh tradisi SMS Hulu Selangor (SEMASHUR) dalam pertembungan ulangan Final SSR 2024 yang lalu. EC, yang terus menjadi pasukan paling konsisten dalam sejarah kejohanan namun tanpa sebarang kejuaraan, berdepan tekanan hebat untuk akhirnya menebus kekecewaan tahun lalu.

Namun SEMASHUR, dua kali juara dan pasukan dengan reputasi besar dalam perlawanan besar, hadir dengan keyakinan dan keseimbangan skuad yang masih utuh sejak musim kejuaraan lalu.



 


Sementara itu, dua nama besar dari Perak, Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) dan Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), akan bertembung dalam satu lagi babak klasik yang bakal mencorakkan sejarah SSR. Kedua-dua pasukan menampilkan prestasi sempurna setakat ini dan dikenali dengan gaya permainan berstruktur dan intensiti fizikal yang tinggi.

Perlawanan ini bakal mempertemukan pengalaman, kecerdikan taktikal dan semangat sekolah berprestij dalam pertarungan yang menjanjikan aksi bertaraf elit. Hari Ahad pula menyaksikan pertemuan antara pasukan yang mewakili generasi baharu SSR.

MRSM Balik Pulau (MRSMBP) hadir sebagai semifinalis musim lalu dengan rekod tanpa kalah musim ini, dipacu oleh kombinasi serangan tajam dan pertahanan yang utuh. Cabaran mereka hadir daripada SBPI Gombak (INTEGOMB) – pasukan muda yang dalam hanya dua musim telah menunjukkan bahawa mereka
mampu berdiri setaraf dengan nama-nama besar.

Ini adalah pertarungan dua falsafah pembangunan: struktur MRSMBP berdepan kebangkitan berani INTEGOMB.

Aksi penutup saingan suku akhir pula melibatkan Victoria Institution (VI) dan Sekolah Dato Abdul Razak (SDAR). VI tampil sebagai pasukan dengan rekod pertahanan terbaik kejohanan dengan hanya 5 mata bolos, namun bakal dicabar oleh serangan dinamik SDAR yang dikepalai oleh Muhammad Irfan Hakimi. Dalam pertembungan antara kecermatan dan kreativiti ini, satu kesilapan boleh memisahkan kemenangan dan perpisahan.

Dengan edisi ke-10 SSR yang diraikan sebagai “A Decade of Greatness”, keempat tempat perlawanan ini adalah lebih daripada sekadar penentuan tempat akhir – ia adalah pentas legasi, simbol pertumbuhan, dan penanda aras masa depan ragbi Malaysia.

TIKET & SOKONGAN KOMUNITI
Tiket kini boleh dibeli di sini. – dan tahun ini, pembelian tiket bukan sahaja untuk menyaksikan aksi hebat, tetapi juga sebagai sumbangan kepada komuniti ragbi sekolah.

Sebagai inisiatif pembangunan komuniti, RM5 daripada setiap tiket akan disalurkan terus kepada pasukan pilihan pembeli, menjadikan setiap pembelian bukan sekadar sokongan dari tempat duduk, tetapi pelaburan dalam akar umbi ragbi negara.

• IX-Clusive Stand – RM30 (Grandstand Utama)
• EV Scrum Side – RM20 (Side Stand Berbumbung)
• The Roar Zone – RM20 (Side Stand Tidak Berbumbung)
• The Tryline Terrace – RM10 (Corner Side Stand)
• The Sin Bin – Percuma (Free Standing)

Jadual Perlawanan Pusingan Suku Akhir SSR 2025 Sabtu 12 Julai 2025

10.00 pagi – Maktab Sultan Abu Bakar lwn SMS Hulu Selangor
4.00 petang – Kolej Melayu Kuala Kangsar lwn Sekolah Tuanku Abdul Rahman
Ahad 13 Julai 2025
10.00 pagi – MRSM Balik Pulau lwn SBPI Gombak
4.00 petang – Victoria Institution lwn Sekolah Dato Abdul Razak

Semua perlawanan bakal berlangsung di Taman Ekuestrian Putrajaya!

Dapatkan tiket anda di sini sekarang!

Advertisement

Must Watch Video