Buat julung kalinya, kategori wanita akan diperkenalkan dalam Kejohanan Ragbi 7's Kebangsaan 2017 di Padang Ipoh, Perak, esok.
Ini merupakan kesinambungan Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) dalam pencarian ramai bakat baru bagi kategori wanita.
Tamabahan pula, kejayaan pasukan wanita kebangsaan merangkul pingat gangsa dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 bulan lalu menyemarakkan lagi sambutan daripada segi penyertaan pasukan-pasukan negeri.
Sebagai permulaan, sebanyak sembilan pasukan telah mengesahkan penyertaan untuk edisi 2017.
"Kami mengharapkan pembabitan lebih ramai wanita dalam sukan ragbi.
"Kami mahu memenuhi kuota yang ditetapkan Ragbi Asia, iaitu sukan ragbi di negara ini perlu melibatkan 40 peratus kaum wanita," kata Pengurus Besar KRM, Mazuri Sallehudin.
Untuk kategori lelaki, sebanyak 15 pasukan mengambil bahagian manakala satu lagi kategori baru, lelaki bawah 20 tahun (B-20), pula membabitkan persaingan 14 pasukan.
Turut akan dilaksanakan dalam edisi kali ini adalah memperkenalkan beberapa peraturan teknikal baru yang telah ditetapkan oleh Kesatuan Ragbi Dunia sejak 1 Ogos lalu.
"Langkah ini akan mempercepatkan lagi permainan. Ini bermakna peraturan dalam sukan ragbi dipermudahkan lagi."
Penulis Jemputan
Fri Sep 15 2017