SUKAN LAIN

Rafiq tekad bangkit daripada kekecewaan tahun lalu

Astro Arena 28/04/2017 | 06:47 MYT
Selepas kecewa dalam Kejohanan Boling Kebangsaan tahun lalu di tangan Timmy Tan, Rafiq Ismail sedia bangkit untuk mencabar kejuaraan sekali lagi dan melaungkan keyakinan mampu berada dalam kalangan tiga terbaik.
Rafiq berada di kemuncak prestasi selepas muncul naib juara Kejohanan Terbuka Antarabangsa Thailand Ke-43 apabila tewas di tangan seorang lagi wakil negara, Zulmazran Zulkifli, 15 April lalu.
Berharap mampu meneruskan momentum sama dalam Kejohanan Boling Kebangsaan Ke-41 yang bermula Jumaat ini, Rafiq mahu merampas kembali kejuaraan yang dimenanginya pada 2015.
"Saya berharap tahun ini saya dapat kekalkan momentum masuk final. Sasaran saya tahun ini adalah untuk berada dalam kalangan tiga terbaik.
"Selepas tewas di tangan Timmy tahun lalu, saya mahu kembali merampas kejuaraan itu," ujar Rafiq.
Pada masa sama, Rafiq tetap menghormati kemampuan rakan sepasukan lain seperti Ahmad Muaz Fishol dan Zulmazran yang semakin mempamer peningkatan.
Baginya, sesiapa sahaja yang mampu mengawal tekanan pada hari terakhir pertandingan mampu meraih kejuaraan.
"Untuk tahun ini, Aiman muncul juara. Dia salah seorang atlet boling yang bagus di samping Zulmazran dan Muaz," tambahnya.
;