SUKAN LAIN

Rafiq harap MTBC cari jalan terbaik

Penulis Jemputan 10/01/2019 | 06:07 MYT
Jaguh boling tenpin negara, Mohamad Rafiq Ismail, berharap Kongres Boling Tenpin Malaysia (MTBC) mampu mencari jalan penyelesaian terhadap kemelut kewangan yang dihadapi mereka bagi menghantar atlet ke Kejohanan Jelajah Persatuan Pemain Boling Profesional (PBA) tahun ini.
Skuad lelaki negara berdepan kemelut sama ketika menghantar atlet ke Kejohanan Dunia Lelaki di Hong Kong tahun lalu.
Masalah itu, bagaimanapun, berjaya diselesaikan oleh MTBC kemudian.
Kini, jelajah PBA di Amerika Syarikat (AS) mungkin terpaksa dilupakan atlet negara akibat pengurangan peruntukan yang diterima MTBC tahun ini.
Rafiq selaku juara dunia berharap MTBC akan mengusahakan penyelesaian terbaik bagi memastikan mereka dapat menyertai kejohanan itu.
"Jelajah PBA mampu memberikan pengalaman berbeza buat peserta.
"Ia merupakan kejohanan terbesar bagi sukan boling.
"Kami telah menyertainya sejak dua tahun lalu dan jika tidak dapat menyertai edisi kali ini, ia amat merugikan," katanya.
Skuad boling negara masih belum memulakan program latihan tahun ini memandangkan mereka hanya akan menerima kontrak baru selewat-lewatnya minggu depan.
"Kami akan menyertai satu perjumpaan Isnin ini.
"Saya yakin kami akan memulakan latihan tidak lama selepas itu.
"Saya masih tidak mendapat sebarang maklumat selain daripada itu," tambahnya.
;