R. Sharmendran terima mandat pacu karate negara
Shaiful Shamsudin
Disember 10, 2024 19:52 MYT
Disember 10, 2024 19:52 MYT
Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) mengambil risiko terbesar menerusi keputusan untuk tidak menyambung khidmat ketua jurulatih, Tamer Abdelraouf Mohamed Mourssy, yang tamat tempoh secara rasmi pada 31 Disember 2024 ini.
Percaturan berani MAKAF itu menimbulkan persoalan apakah jurulatih dari Mesir itu gagal capai petunjuk prestasi utama (KPI).
Tamer mengetuai cabaran kem negara dalam Sukan SEA Kemboja dengan menyumbang empat pingat emas, dua perak dan dua gangsa selain pencapaian gemilang dalam Sukan Asia Hangzhou menerusi Arif Afifuddin yang mencipta kejutan meraih emas kumite bawah 84kg.
Pilihan utama MAKAF untuk mengisi kekosongan kerusi panas ketua jurulatih negara terarah kepada R. Sharmendran.
"Kami tidak akan sambung Tamer. Kami ambil Sharmendran sebagai pemangku jurulatih.
"Kalau ada keperluan, kami akan sambung khidmatnya sampai ke Sukan SEA.
"Dia memang jurulatih pelapis dan kami nampak kredibilitinya.
"Kami nampak dia boleh membawa pasukan senior ke tahap yang lain.
"Kami mungkin naikkan (pangkat) dia jadi kami mahu mencuba cara baru," kata Setiausaha Agung MAKAF, Razlan Shah Rabii, ketika ditemui di perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil.