SUKAN LAIN
Qistina Zahraa buru lebih banyak gelaran musim 2023
Tonggak utama skuad johor, Nurina Qistina Zahraa, mempamerkan aksi cemerlang pada pusingan akhir Siri Kejohanan Berbasikal Trek Yayasan Sime Darby apabila dinobatkan sebagai juara kategori perempuan scratch bawah 19 tahun.
Walaupun ini merupakan kejohanan pertama buatnya bagi musim 2023, Qistina yang terpaksa berehat selama tujuh bulan akibat kecederaan lutut dan menganggap tahun ini adalah tahun 'membalas dendam' sekaligus jadi pencabar dalam saingan akan datang.
"Saya sangat terharu sebelum memulakan perlumbaan ini. Ini merupakan podium pertama buat tahun ini. Saya berharap untuk beraksi dalam saingan Sukma 2024," kata Qistina.
Bekas pemain luncur ais, Newjoe Lau yang beralih sukan berjaya muncul juara dalam kategori sama, walaupun baru berkecimpung dalam sukan berbasikal selama setahun lebih, Newjoe sudah berada pada tahap terbaik apabila ini merupakan kemenangan podium ke-14 buatnya.
"Jurulatih banyak membantu, saya sangat gembira kerana dapat meraih kemenangan ini. Saya berharap dapat meneruskan momentum ini dan berpeluang untuk beraksi bersama skuad kebangsaan di pentas antarabangsa," katanya.