PWM boikot kejohanan anjuran KPT

Ammar Hakim
Oktober 19, 2023 19:02 MYT
Selepas 11 tahun berkompromi, kini Persekutuan Wushu Malaysia (PWM) secara rasmi mengumumkan pengunduran diri dari bekerjasama dalam semua kejohanan wushu yang akan dikelolakan oleh Seksyen Sukan, Bahagian Perancangan Strategik, Kementerian Pengajian Tinggi (SS-BPS-KPT).
Untuk rekod, sukan wushu berjaya menghadiahkan 22 butir pingat emas, 34 perak dan 26 gangsa dalam Kejohanan Bawah Kelolaan KPT dari tahun 2012 hingga 2023.
Presiden PWM, Datuk Chong Kim Fatt, menegaskan keputusan itu dibuat berdasarkan sikap dan layanan kurang baik dari pihak KPT yang seolah hanya mahu menggunakan kelebihan wushu tanpa memberikan sebarang kredit kepada persekutuan mahupun atlet itu sendiri.
"Walaupun atlet wushu sering memenangi pingat dalam pelbagai temasya kelolaan seksyen itu, termasuk memenangi pingat emas pertama dalam sejarah penyertaan Sukan Universiti Dunia sejak 1985, mereka tidak mengutuskan sebarang surat penghargaan kepada PWM.
"Ia seumpama kejayaan itu adalah hasil usaha mereka sahaja. Sikap dan tindakan sedemikian adalah tidak menghargai dan tidak menghormati PWM sama sekali, walhal mereka juga tidak pernah membekalkan pakaian mahupun peralatan untuk latihan atlet.
"Semua atlet wushu berlatih di bawah program pembangunan yang dibiayai oleh MSN (Majlis Sukan Negara) dan PWM juga perlu menanggung perbelanjaan untuk menyertai pelbagai kejohanan di peringkat antarabangsa.
"Dalam erti kata lain, seksyen berkenaan hanya meminjam atlet dan jurulatih daripada PWM dan MSN selama ini, namun mereka langsung tidak pernah berterima kasih mahupun menghargai peranan dan sumbangan PWM dan MSN.
"Disebabkan itu, PWM tidak ingin meneruskan kerjasama dengan Seksyen Sukan BPS, KPT dan sebaliknya akan mencari rakan kongsi yang lain untuk membangunkan sukan wushu di Malaysia," kata Kim Fatt.
Tambahnya lagi, perbincangan dua hala sememangnya diinginkan tetapi jika KPT enggan mengikut syarat yang diberikan maka tiada lagi jalinan kerjasama antara mereka.
;