PTM sahkan skuad tinju negara bakal terima ketua jurulatih baru

Muzaffar Musa
September 25, 2022 19:40 MYT
Persekutuan Tinju Malaysia (PTM) mengesahkan bahawa skuad tinju negara akan menerima seorang ketua jurulatih baru dari Thailand menjelang Sukan SEA Kemboja tahun depan.
Ia selepas kontrak ketua jurulatih, Rustam Saidov, tidak diperbaharui sejak 1 September lalu.
Menurut Presiden PTM, Datuk Iruan Zulkefli, perubahan itu perlu dilakukan demi mendapatkan pencapaian yang lebih memberangsangkan.
Sebagai rekod, skuad tinju negara hanya membawa pulang dua pingat gangsa daripada Sukan SEA Hanoi, Mei lalu.
Dalam satu temu bual bersama wartawan Astro Arena, Syen Yeoh, Iruan berkata: "Jurulatih Roslan Saidov telah habis kontrak, perjanjian kami dengannya adalah untuk Sukan SEA di Vietnam lalu.
"Daripada segi prestasi kami di Vietnam, kami hanya mendapat gangsa, jadi kami rasa kami memerlukan pembaharuan untuk Sukan SEA di Kemboja tahun depan dan tidak menyambung kontraknya.
"Daripada segi perancangan, kami sedang meneliti jurulatih yang lain dan sudah menghantar kepada persatuan-persatuan negara lain untuk melihat butiran dan pengalaman mereka.
"Ia tidak merisaukan PTM kerana kami masih memiliki jurulatih tempatan yang mampu untuk menghasilkan pingat dalam Sukan SEA yang akan datang.
"Dengan pengalaman yang dimiliki mereka, saya rasa mereka mampu dan kami juga sedang memperincikan perancangan yang seterusnya," katanya.
#Tinju #Persekutuan Tinju Malaysia #Sukan SEA Kemboja
;