SUKAN LAIN
PTAM masih sabar tunggu kehadiran Omar
Persekutuan Tinju Amatur Malaysia (PTAM) tetap menagih sentuhan bekas ketua jurulatih Thailand, Omar Puentes Malagon, walaupun pengendali kelahiran Cuba itu masih gagal menyelesaikan masalah visa yang menyebabkan perjalanannya ke Malaysia ditunda.
PTAM sedia memberi masa untuk Omar walaupun Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 berbaki tujuh bulan lagi.
Ini kerana badan induk itu yakin Omar mampu menghadirkan kejayaan besar jangka panjang, terutama memastikan seorang peninju negara layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.
"Kami masih menunggu status visanya kerana hari yang dijanjikan untuk dia sampai, pasportnya tinggal lagi enam helai.
"Untuk buat visa dia mesti melebihi 10 helai, kerana itulah kami masih menanti pasport yang baru daripada jurulatih tersebut," jelas Setiausaha Kehormat PTAM, Shamsul Deran.
Omar memiliki reputasi besar di Thailand apabila membantu menyumbang enam pingat Sukan Olimpik, termasuk dua emas, sejak membimbing negara itu 10 tahun lalu.
Bagaimanapun, dia tidak mengiringi peninju Thailand ke Sukan Olimpik Rio 2016 ekoran masalah visa.
Kehadiran Omar cukup penting untuk membantu Malaysia menghadapi Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Ogos ini selepas bergelut di Singapura, tahun lalu apabila gagal meraih sebarang pingat.
Skuad tinju negara dalam persiapan menghadapi Kejohanan Tinju Sijori di Johor Bahru, bulan depan.