Skip to main content

Sukan Lain

PTAM belum ada calon peninju wanita

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

tinju.jpg
Walaupun hanya berbaki lima bulan menjelang Sukan SEA Filipina, November depan, Persatuan Tinju Amatur Malaysia (PTAM) masih belum memiliki calon dalam kategori wanita yang akan kembali dipertandingkan.

Sebelum ini, PTAM bercadang untuk membawa sekurang-kurangnya tiga peninju wanita untuk bersaing dalam temasya dwitahunan itu.

Bagaimanapun, pemilihannya hanya akan dilakukan dalam Kejohanan Tinju Golden Glove Kebangsaan di Kuala Terengganu, 22 Jun ini.

Ia menggambarkan waktu singkat buat peninju wanita yang terpilih untuk membuat persedian menjelang temasya berkenaan.

Situasi itu berbeza dengan skuad lelaki yang sudah mula menjalani latihan pusat di Majlis Sukan Negara (MSN) sejak awal tahun ini.

"Bagi kategori wanita, kami akan menunggu sehingga penganjuran Kejohanan Golden Glove pada 22 hingga 27 Jun ini," kata Setiausaha Kehormat PTAM, Mohamad Samsul Deran.

Acara tinju wanita tidak dipertandingkan dalam temasya Kuala Lumpur 2017.

Kali terakhir skuad wanita menyumbang pingat dalam temasya itu ialah dalam edisi di Palembang pada 2011 dengan Lee Ai Jin meraih gangsa kategori light flyweight bawah 48 kilogram.

"Ia agak sukar bagi kategori wanita kerana sesetengah orang menganggap tinju sebagai sukan yang berbahaya.

"Secara peribadi, saya berasakan sukan tinju tidak berbahaya.

"Ia kerana sukan tinju memerlukan kelengkapan keselamatan yang tinggi selain ujian saringan kesihatan sebelum menyertai perlawanan.

"Bagi wanita pula, mereka perlu mengisi borang pengesahan untuk memastikan mereka tidak mengandung.

"Jika mengandung memang tidak boleh (menyertai perlawanan)," tambahnya.

Advertisement

Must Watch Video