Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) bersetuju menerima tawaran Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) untuk penganjuran Kejohanan Sepaktakraw Piala Asia 2025 yang bakal diperkenalkan buat pertama kali.

Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan, berkata tawaran penganjuran kejohanan itu masih perlu mengambil kira beberapa faktor termasuk dari sudut dana sebelum langkah seterusnya dapat dilaksanakan.

"Banyak faktor dan sudut dibincangkan dan pada dasarnya, kita bersetuju cuma ada beberapa perkara perlu dihalusi.

"Antaranya dana serta takwim kerana tahun depan dijangka penuh dengan kejohanan besar termasuk Sukan SEA Bangkok, Piala Tun Ali, Liga Sepak Takraw (STL) dan mungkin kejohanan lain," katanya selepas mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi badan induk sukan itu semalam.

Lantas, PSM akan membuat perbincangan lanjut bersama ASTAF dalam menentukan tarikh kejohanan itu tahun hadapan sambil mengambil kira pandangan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) selain Pesuruhjaya Sukan (PJS).

"Kita akan putuskan nanti sama ada Piala Asia ini akan diteruskan atau beri laluan pada kejohanan lain terlebih dahulu," katanya.
Badan induk itu juga optimis bahawa tempoh masa mencukupi dalam soal mencari dana agar dapat memastikan kejohanan itu dijayakan pada tahun hadapan.

Sebelum ini, Presiden ASTAF Datuk Abdul Halim Kader menerusi kenyataan memberitahu mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi ASTAF sebulat suara bersetuju melantik Malaysia selaku tuan rumah kejohanan berkenaan.

Faktor utama Malaysia diberi kepercayaan dan ditawarkan hak penganjuran Piala Asia 2025 adalah bersandarkan pada 10 asas kukuh dan praktikal, antaranya kejayaan menganjurkan Kejohanan Piala Dunia dengan cemerlang pada 16 - 26 Mei lepas. - BERNAMA