Skip to main content

Hoki

PSAS: Razie Rahim cetus inspirasi jangkau aksi ke-300

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

razie-rahim-hoki.jpg
Pemain sensasi, Muhammad Razie Abdul Rahim, memahat rekod tersendiri apabila membuat penampilan ke-300 bersama skuad hoki negara di Ipoh, Perak, malam tadi.

Lakaran sejarah penampilan pemain berjersi 17 itu dibuat dalam aksi terakhir round robin Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) 2022 ketika membantu skuad negara menumpaskan Jepun 4-2 di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah.

Malah, lebih manis pakar pukulan sudut penalti itu turut menghasilkan dua gol bagi membantu Malaysian Tigers mara ke final menentang Korea Selatan pada Khamis ini.

“Alhamdulillah caps ke-300. Saya anggap ia sebagai sumber inspirasi. Syukur dengan kemenangan ini, kami dapat tiga mata berharga bagi mencapai sasaran mara ke final,” katanya.




Selain dua jaringan Razie, turut mencatat nama selaku penjaring ialah Nik Aiman Nik Rozemi dan Syafiq Sumantri, manakala Jepun memperoleh jaringan menerusi Kaito Tanaka dan Shota Yamada.

Mengulas aksi final, Razie menyifatkan peluang buat kedua-dua pasukan adalah seimbang dan apa yang penting para pemain perlu membuat persiapan rapi.

“Pemain perlu perbaiki kelemahan dan pada masa sama kami cuba cari kelemahan pasukan lawan,” katanya.

Pemain berusia 35 tahun itu menjadi penjaring terbanyak PSAS setakat ini setelah meledak lima gol dan berpeluang menokok jaringan pada aksi final nanti.

Kredit: Sinar Harian 

Kredit imej: Eddy Manan

Advertisement

Must Watch Video