PIALA SAS

PSAS: Pengorbanan Faiz Helmi berbaloi

Penulis Jemputan 07/03/2018 | 05:05 MYT
Tonggak pertahanan negara, Faiz Helmi Jali, menyifatkan pengorbanannya menahan sakit sepanjang 60 minit perlawanan berbaloi selepas membantu Malaysia untuk mencatat kemenangan bersejarah ke atas Argentina dalam aksi peringkat kumpulan Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) 2018, malam tadi.
Sebelum perlawanan bermula, Faiz disahkan mengalami kecederaan pangkal paha, namun dia meletakkan kepentingan negara melebihi dirinya sendiri apabila menyatakan keinginan kepada jurulatih negara, Stephen Van Huizen, untuk turut bermain.
Faiz bergandingan dengan kapten pasukan, Razie Abd Rahim, Syed Syafiq Syed Cholan dan Najmi Faizal Jazlan di benteng pertahanan untuk mengekang asakan pasukan Argentina.
Pengorbanan itu berbaloi apabila Malaysia mencipta kejutan menundukkan Argentina selepas kali terakhir mereka berjumpa di pentas kompetitf adalah ketika separuh Liga Hoki Dunia di London, Jun lalu, yang menyaksikan Malaysia tewas 2-1.
"Ini merupakan keputusan saya sendiri untuk terus bermain bersama pasukan. Mungkin selepas ini saya akan berehat hingga saingan Sukan Komanwel," kata Faiz Helmi.
Dalam perlawanan itu, pasukan negara berjaya menghalang kesemua tujuh percubaan pukulan sudut penalti Argentina, termasuk satu penalti strok yang digagalkan penjaga gol negara, Hafizuddin Othman.
Kemenangan ini memadamkan badi kekalahan 26 tahun yang dialami skuad negara kepadaArgetina dalam kejohanan kompetitif selepas kali terakhir The Malaysian Hockey Tigers menundukkan skuad Los Leones ketika Sukan Olimpik 1992 di Barcelona dengan keputusan 5-4.
"Kami telah cuba berjuang habis-habisan untuk mendapatkan keputusan seri. Kami amat berbangga di atas kemenangan ini," kata penyerang negara, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil.
;