Skip to main content

Hoki

PSAS: Hairi enggan dilabel pemain pelengkap

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

hairi-badul-rahman.jpg
Penjaga gol skuad hoki negara, Hairi Abdul Rahman, enggan dilabel sebagai pemain pelengkap dan mahukan khidmatnya ditagih The Malaysian Hockey Tigers dalam Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) dari 23-30 Mac ini selepas ketiadaan S. Kumar yang cedera otot paha.

Hairi akan bersaing dengan seorang lagi penjaga gol negara, Hafizuddin Othman, untuk merebut posisi utama dalam kejohanan di Ipoh itu.

Meskipun kerap diletakkan sebagai penjaga gol simpanan sebelum ini, Hairi bertekad untuk mengubah persepsi itu bagi memastikan peluangnnya dalam edisi kali ini tidak berlalu sia-sia.

Dia sedar Kumar pasti akan kembali memperkuatkan skuad negara dalam Kejohanan Siri Final Dunia bulan depan dan persaingan sengit itu akan diteruskannya bagi menambat hati pengendali kebangsaan, Roelant Oltmans. 

"Saya perlu fokus kepada tugasan saya, termasuk dalam sesi latihan di mana saya perlu terus berusaha.

"Bagi saya, Kumar masih di prestasi terbaik dan sebagai penjaga gol simpanan, saya perlu meningkatkan prestasi saya," katanya.

Sementara itu, penyerang negara, Firhan Ashaari, menganggap kedudukan Malaysia selaku pilihan ketiga kejohanan selepas India dan Kanada tidak memberikan kelebihan besar ketika mereka perlu berwaspada dengan ancaman daripada tiga pencabar lain -- Afrika Selatan, Korea Selatan dan Jepun -- yang mampu memberikan kejutan.

"Jika kami berdepan pasukan bukan pilihan, kami menyedari mereka juga boleh bermain hoki dan mempunyai standard yang tersendiri di peringkat tertinggi.

"Kami tidak boleh memandang mudah memandangkan kami tidak tahu perancangan mereka.

"Kami perlu mengambil serius setiap perlawanan," katanya.

Advertisement

Must Watch Video